EKONOMI > BERITA

BNM Keluarkan Dokumen Semakan Semula Dasar Wang Elektronik

31/01/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan dokumen dasar wang elektronik dan set soalan lazim (FAQ) yang disemak semula berkuat kuasa hari ini.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata dokumen dasar itu menetapkan keperluan bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan wang elektronik yang dikeluarkan oleh pengeluar wang elektronik (EMI) selain mengekalkan keyakinan pelanggan dan peniaga untuk menggunakan atau menerima wang elektronik bagi pembayaran barangan serta perkhidmatan.

"Dokumen dasar ini disertakan dengan pernyataan balas untuk menjawab maklum balas dan cadangan utama yang diterima semasa tempoh perundingan.

"Disertakan juga semakan FAQ bagi meningkatkan pemahaman orang ramai tentang keperluan yang ditetapkan BNM serta menjelaskan isu tafsiran dalam pelaksanaan keperluan dokumen dasar wang elektronik ini,” kata BNM dalam laman sesawang rasminya. 

Bank pusat berkata, semakan dokumen dasar dan FAQ ini dibuat selaras dengan pewartaan Perintah Perkhidmatan Kewangan (Wang Elektronik Maksud Terhad) (Pengecualian) 2024 [P.U.A 463/2024] dan Perintah Perkhidmatan Kewangan Islam (Wang Elektronik Maksud Terhad) (Pengecualian) 2024 [P.U.A 461/2024] yang mengecualikan EMI maksud terhad (limited purpose EMI) daripada dokumen dasar ini.

Menurut BNM lagi, dokumen dasar tersebut menetapkan keperluan dan panduan pengawalseliaan oleh BNM kepada EMI yang diluluskan menurut seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan