EKONOMI > BERITA

Menteri Ekonomi ASEAN Bakal Sahkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi Pada Permukiman Akan Datang

06/02/2025 09:17 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) bersedia untuk mengesahkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) pada Permukiman AEM yang akan datang di Johor pada akhir Februari, bertujuan memacu integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN pada 2025 dan peneraju tonggak ekonomi, optimis untuk mencapai konsensus mengenai PED, yang akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN pada November.

Beliau berkata pegawai-pegawai kanan telah berhimpun di Kuching untuk menyediakan cadangan bagi kelulusan menteri.

“Kami berharap semua menteri ASEAN akan bersetuju dengan 18 PED supaya kami dapat melaksanakannya dengan berkesan.

“PED berteraskan empat teras utama: meningkatkan integrasi ekonomi, menggalakkan pertumbuhan inklusif, memacu kemampanan dan memperluas ekonomi digital,” katanya kepada Bernama selepas program Bernama TV ‘Ruang Bicara Aspirasi Ekonomi’ semalam.

Tengku Zafrul berkata tumpuan kepada keterangkuman bertujuan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), usahawan wanita dan belia mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi ASEAN.

Beliau berkata antara inisiatif utama ialah Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), perjanjian dalam kalangan negara ASEAN untuk meningkatkan perdagangan digital dan e-dagang, terutamanya yang memberi manfaat kepada PMKS.

“Jika kita hanya tumpu kepada syarikat besar, pertumbuhan perdagangan tidak akan mencapai potensi penuhnya berikutan sebahagian besar perniagaan berdaftar di ASEAN adalah PMKS,” katanya.

Beliau berkata kerjasama tenaga juga menjadi agenda utama, dengan perbincangan mengenai pembangunan grid tenaga ASEAN, terutamanya untuk tenaga boleh baharu.

“Negara-negara ASEAN perlu bekerjasama lebih erat dalam tenaga boleh baharu, bidang yang sering diketengahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memacu agenda ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata selain perdagangan intra-ASEAN, blok itu menyasarkan untuk meningkatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan rakan utama seperti China dan India untuk meningkatkan perdagangan dalam barangan dan perkhidmatan.

“Terdapat juga dorongan strategik untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor dan kenderaan elektrik (EV), menjadikan ASEAN sebagai hab pelaburan bersatu berbanding negara yang bersaing antara satu sama lain.

“Kita perlu terus memelihara perdagangan pelbagai hala, berasaskan peraturan termasuk prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Perjanjian Paris dan FTA sedia ada. Perdagangan terbuka kekal penting untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Tengku Zafrul turut menekankan kepentingan ASEAN sependapat dalam landskap ekonomi dan geopolitik global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan