EKONOMI > BERITA

Kemunculan Teknologi AI Baharu Mampu Jadikan Malaysia Hab Pusat Data Neutral - Tengku Zafrul

06/02/2025 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang baharu seperti DeepSeek mampu mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap satu produk sahaja, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kemunculan teknologi AI yang pelbagai ini juga membolehkan Malaysia menjadi pusat data yang neutral untuk syarikat AI dari Barat dan Timur seperti China.

“Walaupun AI yang lebih cekap ini mengurangkan keperluan pusat data besar, tetapi kos AI yang lebih rendah dijangka meningkatkan penggunaan teknologi AI secara meluas dan akan mendorong lebih banyak permintaan terhadap perkhidmatan pusat data,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung kesan kebangkitan teknologi AI baharu ke atas pelabur pusat data terutama daripada China.

Menurut Tengku Zafrul, peningkatan kecekapan AI tidak mengurangkan permintaan terhadap pusat data malah sebaliknya mungkin akan meningkatkan penggunaan AI yang seterusnya merangsang pelaburan pusat data.

“Rantaian bekalan semikonduktor akan dipelbagaikan, kalau kita lihat lokasi Johor contohnya, Pulau Pinang dan Kedah, lokasi-lokasi strategik untuk infrastruktur AI dan pusat data ini tidak akan terjejas,” katanya.

Justeru, katanya, langkah seterusnya bagi Malaysia adalah untuk memastikan daya saing pusat data di negara ini dengan memperkenalkan lebih banyak Insentif pelaburan hijau yang kompetitif.

“Kita nak galakkan lagi tenaga kerja AI dan digital dan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pusat pemprosesan AI dengan menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat AI, bukan sahaja dari Barat tetapi juga negara-negara lain

“Dan kita juga perlu memastikan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China terus dikekalkan dalam usaha memastikan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi yang neutral,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan