KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Malaysia telah memulakan siasatan anti-lambakan ke atas gegelung/kepingan keluli bergalvani yang dieksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut MITI dalam kenyataan hari ini, kerajaan telah menerima petisyen daripada CSC Steel Sdn Bhd pada 7 Jan memohon siasatan duti anti-lambakan dijalankan ke atas import produk gulungan rata besi aloi atau keluli bukan aloi, disadur atau disalut zink, menggunakan proses celupan panas (gegelung/kepingan besi bergalvani atau gegelung/kepingan keluli bergalvani) yang berasal atau dieksport dari negara-negara tersebut.
Katanya pempetisyen mendakwa import produk tersebut yang berasal atau dieksport dari negara-negara itu telah dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan domestik di negara-negara berkenaan.
“Pempetisyen seterusnya mendakwa lambakan import dari negara-negara tersebut telah meningkat dari segi kuantiti mutlak dan telah menyebabkan kemudaratan material kepada pempetisyen,” katanya.
Katanya kerajaan telah menilai dan mempertimbangkan maklumat dan bukti lambakan, kecederaan dan kesan hubungkait yang dinyatakan dalam petisyen.
Katanya keputusan untuk memulakan siasatan duti anti-lambakan ke atas import dagangan subjek berdasarkan seksyen 20 Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) serta peraturan 7 Peraturan-Peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan).
“Penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh pemulaan siasatan. Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelak kecederaan kepada industri tempatan yang berlanjutan,” katanya.
Menurut MITI, pihaknya akan mengedarkan satu set soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeksport atau pengeluar asing subjek dagangan tersebut di negara yang didakwa, kerajaan negara-negara tersebut dan persatuan perniagaan berkaitan.
Pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam siasatan duti anti-lambakan ini perlu mendaftar sebagai pihak berkepentingan serta memohon untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 21 Feb 2025.
Pihak berkepentingan boleh memberikan pandangan secara bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan kepada MITI selewat-lewatnya pada 8 Mac 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial