EKONOMI > BERITA

Sime Darby Catat Untung Bersih RM305 Juta, Umum Dividen 4 Sen

24/02/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sime Darby Bhd (Sime Darby) mencatatkan keuntungan bersih RM305 juta pada suku kedua berakhir 31 Dis, 2024 (FY2025) berbanding RM2.28 bilion pada suku kedua FY2024.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata keuntungan bersih lebih tinggi pada suku kedua FY2024 berikutan rangkuman keuntungan RM2 bilion akibat pelupusan ke atas Ramsay Sime Darby Health Care.

Selain itu, perolehan hasil kumpulan itu meningkat 14.2 peratus kepada RM17.72 bilion ketika suku tersebut daripada RM15.52 bilion sebelumnya.

Sime Darby mengumumkan dividen interim tiga sen sesaham dan dividen khas satu sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025.

Sementara itu, bagi separuh pertama berakhir 31 Dis, 2024, keuntungan bersih menyusut kepada RM1.10 bilion daripada RM2.87 bilion sebelumnya, tetapi jumlah perolehan hasil meningkat kepada RM35.99 bilion daripada RM29.50 bilion.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata walaupun keputusan Sime Darby adalah baik berbanding tahun lepas, pasaran kini semakin mencabar.

“Operasi kami di China terus terjejas akibat persaingan sengit menyebabkan margin yang lebih rendah.

“Pasukan Sime Darby telah berusaha gigih untuk meningkatkan perolehan hasil selepas jualan, menguruskan kos dan menambah baik pusing ganti inventori yang membolehkan aliran tunai operasi yang lebih tinggi,” katanya.

Mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan prestasi kewangan teras bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025 berada pada paras yang sama seperti tahun sebelumnya, walaupun berdepan cabaran dalam industri permotoran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan