KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih UOA Development Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 melonjak kepada RM287.30 juta daripada RM279.55 juta pada tahun kewangan 2023.
Hasil turut meningkat kepada RM545.70 juta daripada RM399.39 juta sebelum itu, terutamanya disebabkan pengiktirafan progresif yang lebih tinggi daripada projek pembangunan kumpulan itu yang sedang berjalan, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku keempat tahun kewangan 2024, keuntungan bersih kumpulan pemaju hartanah itu turut meningkat kepada RM128.21 juta daripada RM118.72 juta pada suku keempat 2023, manakala hasil naik kepada RM234.86 juta berbanding RM109.01 juta sebelum itu.
Kumpulan itu mengaitkan peningkatan hasil bagi suku dalam tinjauan kepada pengiktirafan progresif projek pembangunan yang sedang berjalan seperti Bamboo Hills Residences, Laurel Residence, Aster Hill dan sebuah pusat perubatan di Bangsar South.
Mengenai prospek masa depan, UOA berkata kumpulan akan terus meneroka tanah pembangunan strategik yang memenuhi objektifnya.
Jumlah jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 31 Dis, 2024 kira-kira RM1.0 bilion, terutamanya diperoleh daripada Bamboo Hills Residences, Aster Hill, Duo Tower, dan Laurel Residence.
"Jumlah jualan belum dibilkan setakat 31 Dis, 2024 ialah kira-kira RM837.4 juta," kata kenyataan itu.
Sementara itu, UOA telah mencadangkan dividen satu peringkat akhir sebanyak 10 sen sesaham bagi tahun kewangan 2024, berjumlah dividen bersih yang perlu dibayar sebanyak RM262.38 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial