EKONOMI > BERITA

Pengesahan 18 PED, Nilai Semula Pelan AEC Antara Tumpuan Penting AEM Ke-31 - MITI

25/02/2025 04:52 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab dan Mohd Khairi Idham Amran

KOTA TINGGI, 25 Feb (Bernama) -- Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-31 pada Jumaat ini di Desaru, dijangka menyaksikan semua negara anggota mengesahkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) dan menilai semula kemajuan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN  (AEC) 2026-2030.  

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata pemukiman itu akan menjadi penting untuk mendapatkan kelulusan menteri mengenai PED, yang memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital.  

“Aspek paling penting pada pemukiman itu ialah mendapatkan sokongan daripada para menteri. Di sinilah kita akan melihat pengesahan terhadap 18 PED yang kita usahakan untuk tahun ini,” katanya kepada Bernama.  

Hairil berkata selepas pengesahan menteri diterima, semua anggota ASEAN akan mula berusaha untuk memastikan kejayaan pelaksanaan keberhasilan ini.

“Itu akan menjadi hasil utama daripada pemukiman ini,” katanya.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu Bernama awal bulan ini bahawa Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN pada 2025 dan peneraju tonggak ekonomi, optimis untuk mencapai konsensus mengenai PED.

Selepas disahkan, keberhasilan ini akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN pada November, kata Tengku Zafrul.  

Selain PED, Hairil berkata pemukiman itu akan turut menilai semula Pelan Strategik AEC 2026-2030, yang membentuk sebahagian daripada Wawasan Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045).  

“Ini juga sebahagian daripada ACV 2045 tetapi untuk tonggak ekonomi, kami mengambil pendekatan berperingkat setiap lima tahun. Pelan Strategik AEC akan meliputi 2026-2030, diikuti 2031-2035 dan seterusnya,” katanya.  

MITI berharap menteri-menteri ASEAN akan mengiktiraf kemajuan yang dicapai setakat ini dan pada Mei 2025, blok itu akan memuktamadkan rangka kerja strategik lima tahun yang akan datang untuk kerjasama ekonomi, kata Hairil.  

Pada masa ini, pegawai-pegawai kanan di Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) sedang membincangkan isu-isu berkaitan 18 PED dan pelan strategik.   

Perbincangan ini akan diteruskan pada Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) selama dua hari, yang bermula esok sebelum cadangan dibentangkan kepada menteri pada pemukiman pada 28 Februari.   

“Saya amat yakin menteri-menteri akan bersetuju dan mengesahkan kesemua 18 PED. Setelah diluluskan, semua badan statutori dan kumpulan kerja di bawah tonggak ekonomi akan memulakan pelaksanaannya,” kata Hairil.  

Tengku Zafrul dijangka mempengerusikan pemukiman AEM pada 28 Februari.  

Sebelum mesyuarat itu, Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) Ke-12 telah diadakan pada 22 hingga 23 Februari manakala Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) Ke-47 berlangsung pada 24 hingga 25 Februari.  

Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (SEOM) untuk pemukiman AEM akan diadakan pada 26 hingga 27 Februari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan