EKONOMI > BERITA

Sunway Construction Peroleh Kontrak Bernilai RM1.5 Bln Untuk Projek RTS di Bukit Chagar

05/03/2025 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Sunway Construction Group Bhd telah memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM1.5 bilion daripada Sunway Integrated Properties Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan berkaitan dengan projek Pembangunan Berorientasikan Pengangkutan Sistem Rapid Transit (RTS TOD) di Bukit Chagar, Johor.

Ia berkata anak syarikat milik penuh Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB) menerima Surat Anugerah (LA) hari ini daripada Sunway Integrated Properties, anak syarikat milik penuh tidak langsung Sunway Bhd.

Kontrak Part A melibatkan pembinaan dan penyiapan bangunan bertingkat ‘park and ride’ untuk projek RTS TOD, kemudahan menghantar dan mengambil penumpang, laluan sambungan kepada kompleks kastam dan imigresen, jalan lingkaran perimeter dan tembok penahan.

Di bawah Part B pula, ia melibatkan pembinaan dan penyiapan pusat beli-belah runcit, podium dan harta tanah di stesen Bukit Chagar.

"Notis Untuk Meneruskan (NTP) akan dikeluarkan kepada SCSB dalam fasa berasingan, setiap satu sepadan dengan permulaan bahagian kerja yang berlainan," kata Sunway Construction dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Berikutan pemeteraian surat anugerah berkenaan, NTP pertama telah diterima untuk kerja-kerja Part A dengan tarikh permulaan pada 5 Mac, 2025.

Bahagian pertama dijangka siap selewat-lewatnya November, 2026 manakala kerja-kerja Part A menjelang November 2027.

“Tarikh permulaan dan penyiapan untuk kerja-kerja Part B akan disahkan dalam NTP berikutnya, ia akan dikeluarkan pada tarikh lain,” kata Sunway Construction.

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan itu menjangkakan kerja-kerja itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 dan tahun-tahun seterusnya.

Setakat ini, nilai perolehan kontrak tertunggak Sunway Construction berjumlah RM7.6 bilion.

Selain itu, jumlah projek baharu yang diperoleh kumpulan itu pada 2025 termasuk kerja-kerja untuk projek RTS TOD berjumlah RM1.7 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan