KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- AmBank (M) Bhd telah memberikan kemudahan pembiayaan kepada Worldwide Stainless Sdn Bhd, sekutu Yankong Group untuk pengambilalihan Bahru Stainless Sdn Bhd dari Acerinox S.A, Sepanyol pada harga RM1.06 bilion.
Pengambilalihan tersebut diselesaikan pada November 2024, dengan Ambank membiayai 80 peratus daripada urus niaga antara Worldwide Stainless dan Acerinox.
Pengarah Urusan Perniagaan Perbankan Kumpulan Ambank, Christopher Yap mengulas pengambilalihan itu menandakan langkah yang berani ke hadapan yang akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia serta industri keluli tahan karat negara.
"Industri keluli tahan karat Malaysia sedang bersedia untuk pertumbuhan dan dengan kepakaran Stainless Worldwide serta sokongan kewangan kami, kami berada di kedudukan yang baik bagi merebut peluang baharu di pasaran tempatan dan global," katanya pada media selepas upacara memeterai perjanjian fasiliti itu.
Beliau menjelaskan bahawa struktur pembiayaan US$95 juta (kira-kira RM450 juta) telah disediakan bagi pengambilalihan itu meliputi 80 peratus daripada urus niaga berkenaan, manakala baki RM600 juta diperuntukkan sebagai modal kerja.
"Syarikat memerlukan modal yang signifikan untuk mengimport bahan mentah terutamanya gegelung, yang penting bagi pengeluaran keluli tahan karat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Stainless Worldwide dan Yankong Group, Danny Tan Wei Beoh berkata tarif 25 peratus Amerika Syarikat (AS) terhadap import keluli telah mewujudkan peluang baru bagi syarikat itu.
"Walaupun bimbang dengan tarif AS ke atas keluli tahan karat, kami melihat ini sebagai kelebihan dan bukannya penghalang. Di bawah dasar tarif Donald Trump, pembekal dari China telah mengeksport keluli tahan karat ke Kanada, Mexico dan Korea Selatan, yang kemudiannya mengeksportnya semula ke Amerika Syarikat.
"Bagaimanapun, dengan sekatan tarif baharu ini, negara-negara berkenaan tidak lagi dapat membuat pembekalan kepada pasaran AS secara kompetitif. Peralihan ini membuka peluang baru bagi syarikat kami untuk meningkatkan eksport ke AS memandangkan pembeli mereka sudah pasti akan mencari pembekal alternatif," katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial