BELANJAWAN 2024 > BERITA

SUKMA 2024: Zi Hong Raih Emas Pertama Negeri Sembilan Biarpun Demam

15/08/2024 03:16 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Negeri Sembilan boleh berbangga dengan atlet wushu Wong Zi Hong yang berjaya memenangi pingat emas pertama untuk negeri itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 walaupun terpaksa mengharungi saingan final taijiquan lelaki dalam keadaan demam di sini hari ini.

Zi Hong yang membuat penampilan keduanya di temasya sukan dwitahunan itu, terpaksa beraksi dalam keadaan fizikalnya tidak begitu mengizinkan selepas mula diserang demam sejak semalam.

Atlet berusia 20 tahun berasal dari Seremban itu, bagaimanapun berjaya mengutip mata tertinggi 9.596 dalam kalangan 12 peserta sekali gus menyambar kilauan emas SUKMA pertamanya.

“Saya sangat gembira dan teruja dengan kemenangan ini.

“Sebenarnya persembahan saya tidak bagus langsung. Hanya 80 peratus, bukan yang terbaik, sebab sedang demam… saya rasa sangat tidak sihat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Dewan Wushu SSC di sini.

Sementara itu, Lee Cheng Yang dari Wilayah Persekutuan membawa pulang perak dan wakil tuan rumah Mok Xiao Yuan dengan gangsa selepas masing-masing meraih kutipan mata 9.593.

Sebagai rekod, Zi Hong meraih gangsa dalam acara sama pada edisi lepas di Kuala Lumpur.

Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan