BELANJAWAN 2024 > BERITA

Lebih 9,000 Anak Pokok, Benih Diedar Percuma Di Program MADANI Zon Selatan

15/08/2024 04:36 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pertanian Johor mengambil inisiatif menambah jumlah pemberian anak pokok dan benih sayur-sayuran percuma kepada pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) Zon Selatan 2024 yang berlangsung Dataran UTM, Skudai, bermula hari ini hingga 17 Ogos.

Pegawai Pertanian Pusat Pertanian Ayer Hitam Farhana Hafizah Hamdan Mustafa berkata jika di PMR Zon Timur sebelum ini lebih 7,000 anak pokok diagihkan, dalam program ini 9,000 anak pokok dan benih sayuran diedarkan di reruai Jabatan Pertanian Johor.

Antaranya ialah anak pokok kelapa MYD (Malayan Yellow Dwarf) dan kelapa MRD (Malayan Red Dwarf), durian Musang King, manggis, kopi, durian belanda selain anak benih sawi dan bawang.

"Program ini bertujuan menggalakkan pertanian dalam kalangan masyarakat. Contoh buat masa ini, kita mempromosi tanaman bawang, jadi (pemberian benih) ini adalah usaha kita menguar-uarkan penanaman bawang kepada orang ramai, ’’ katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Reruai Jabatan Pertanian Johor antara agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang  terlibat dalam Program MADANI Rakyat Zon Selatan.

Tinjauan Bernama pada hari pertama pengagihan anak pokok dan benih mendapati pengunjung mula beratur seawal 10 pagi untuk mendapatkan kupon sebelum diberikan slot bagi mendapatkan anak pokok dan benih.

Seorang pengunjung dari Parit Raja, Batu Pahat, Noorhayati Ishak, 62, berkata program ini dapat memberi manfaat kepada diri dan keluarganya dengan menggalakkan penanaman sayuran dan buah-buahan di rumah.

"Terima kasih atas pemberian anak pokok dan  benih percuma ini, nanti saya akan berkebun dengan keluarga," katanya yang mendapatkan anak pokok manggis dan durian.

Beliau berkata staf bertugas di reruai juga sangat membantu dalam mengajar cara penanaman dan penjagaan tumbuhan itu.

Seorang petugas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mat Abdullah Mat Arifin, 34, pula berkata inisiatif ini langkah terbaik menggalakkan setiap lapisan masyarakat untuk menanam pokok dan seterusnya dapat menjimatkan perbelanjaan. 

Beliau yang mendapatkan anak pokok manggis bercadang untuk menanam pokok itu di kampungnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan