BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pengamal Media Sambilan Lega, Caruman Perkeso Jamin Kebajikan Di Lapangan

15/08/2024 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Rata-rata kalangan pengamal media sambilan kini boleh menarik nafas lega apabila kebajikan mereka sedikit sebanyak terjaga dengan adanya jaringan keselamatan sosial yang baik menerusi caruman dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menerusi MoU yang ditandatangani Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perkeso hari ini, kadar caruman bagi skim tersebut ditanggung 90 peratus oleh kerajaan manakala 10 peratus lagi oleh Bernama bagi tempoh setahun bermula 1 Julai lepas.

Mohd Asri Saifuddin Mamat, 35, berkata insiatif yang disediakan itu memberikan kelegaan kepada dirinya yang sudah berkhidmat hampir 11 tahun sebagai jurugambar sambilan.

“Kerja ini berhadapan dengan pelbagai risiko ketika berada di lapangan dan insiatif ini bagus kerana dapat menjamin kehidupan kami,” katanya yang sudah lebih enam tahun berkhidmat sebagai jurugambar sambilan di Bernama.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata pada 2017 selepas terbabit dalam kemalangan ketika menjadi jurugambar sambilan, beliau tidak dapat bekerja hampir sebulan akibat kecederaan yang dialami, mengakibatkan pendapatannya terjejas disebabkan beliau tidak mempunyai caruman Perkeso.

Mohd Asri merupakan salah seorang daripada 10 pengamal media sambilan yang menerima Nota Perlindungan Perkeso pada majlis pemeteraian MoU antara Bernama dengan Perkeso di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Selain itu juruvideo sambilan TV3, William Joseph, 60, berkata kebanyakan pengamal media sambilan ini seumpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan tiada masa untuk memikirkan mengenai diri sendiri.

Beliau berkata menerusi caruman yang diberikan kerajaan, ia dapat memberi perlindungan kepada pengamal media sambilan ketika bertugas di lapangan.

“Kita tiada bajet (membeli insurans) mahu pentingkan diri sendiri, kita perlu fikirkan mengenai keluarga jadi inisiatif ini bagus kepada kami,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai juruvideo sejak 1985.

Turut senada juruvideo sambilan Astro Awani Muhammad Izzad Ezdanieal Roshaizad, 24, yang menyifatkan inisiatif itu umpama jaring keselamatan bagi petugas media sepertinya.

“Saya bersyukur kebajikan terjaga kerana risau juga sekiranya terjadi perkara tidak diingini ketika bertugas. Adanya caruman ini sekurang-kurangnya dapat membantu saya dan keluarga,” katanya yang menceburi industri media sejak dua tahun lepas.

SKSPS bakal memanfaatkan seramai 493 pengamal media sambilan daripada 45 organisasi media di seluruh negara dengan nilai caruman sebanyak RM232.80 setahun bagi setiap individu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan