BELANJAWAN 2024 > BERITA

K'jaan Persekutuan, Negeri Perlu Tingkat Kepantasan Beri Kelulusan Untuk Tarik Pelabur - PM

15/08/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu meningkatkan kepantasan dalam memberi kelulusan tanpa berkompromi dengan peraturan yang dikuat kuasa bagi menjadikan Malaysia tumpuan pelabur di rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan dari segi kecepatan kelulusan pembangunan, Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan agenda bagi memudah cara perniagaan.

“Hari ini saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-45, platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa serta guna tanah negara.

“Insya-Allah, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu turut membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan