BELANJAWAN 2024 > BERITA

Hujan Tidak Jejas Sasaran 100,000 Pengunjung Ke Program MADANI Rakyat

15/08/2024 06:20 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Cuaca tidak menentu dengan hujan yang melanda sebelah petang pada hari ini, tidak akan menjejaskan sasaran 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan.

Ketua Penolong Pengarah Seksyen Program Strategik dan Komunikasi Korporat, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Raslina Yahya berkata ini memandangkan kebanyakan acara dan program diadakan di kawasan berbumbung. 

"Mungkin sedikit mengganggu tetapi kalau ikutkan banyak reruai yang menyediakan cenderahati payung dan ada yang menyediakan topi, jadi saya rasa ia satu kelebihan kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui Bernama di reruai Kementerian Ekonomi.

Semalam, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai yang ingin hadir ke program itu yang diadakan di Dataran UTM Skudai di sini agar membawa payung sebagai langkah persediaan sekiranya hujan.

Pengarah MetMalaysia Johor Nor Adawiah Abdullah berkata ramalan cuaca pada hari ini dan Sabtu menjangkakan hujan pada sebelah pagi, manakala hujan berserta ribut petir pada sebelah petang. 

Program MADANI Rakyat Zon Selatan merupakan ruang bagi kerajaan memaklumkan serta menguar-uarkan pencapaian serta manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan komitmen berterusan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri.

Tumpuan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan bakal terarah kepada amanat dan pembentangan Laporan Setahun Ekonomi MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian penutup Sabtu ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan