BELANJAWAN 2024 > BERITA

SUKMA 2024: Sarawak Raih Emas, Gangsa Dalam Beregu Campuran Skuasy

19/08/2024 05:29 PM

KUCHING, 19 Ogos (Bernama) -- Skuad skuasy Sarawak menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah untuk menampilkan aksi cemerlang apabila meraih pingat emas dan gangsa menerusi acara beregu campuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Pada aksi final di Pusat Skuasy Sarawak di sini, Nathalie Sim Shu Eng dan Harith Danial Jefri berdepan cabaran sukar untuk menumpaskan pasangan dari Melaka Thanusaa Uthrian dan Andrik Lim Kai Shan.

Tuan rumah Sarawak memulakan aksi set pertama dengan langkah cemerlang apabila berjaya memenanginya dengan markah 11-9 sebelum pasangan Melaka kembali bangkit pada set kedua dengan kemenangan 11-8.

Aksi di set penentuan menyaksikan pasangan Harith dan Nathalie berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan 11-9.

Kemenangan itu menyaksikan Harith dan Nathalie berjaya mempertahankan pingat emas milik mereka dalam acara sama pada SUKMA edisi 2022.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu campuran Sarawak, Eugenia David dan Altamis Aqhar Sallam A Sufian memperoleh pingat gangsa apabila menewaskan pasangan Sabah, Tristan Andreas Muyou Angkaus dan Doyce Lee Ye San 11-6, 10-11, 11-6.

Skuasy menawarkan enam pingat emas pada temasya kali ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan