BELANJAWAN 2024 > BERITA

Terlepas Pingat Gangsa, Chica Chica Terlalu Unggul Buat Noor Askuzaimey

02/09/2024 03:12 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 1 Sept (Bernama) -- Hasrat pemain boccia negara Noor Askuzaimey Mat Salim menyumbang pingat pertama negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila ditundukkan jaguh Colombia, Leidy Chica Chica  pada perlawanan penentuan pingat gangsa dalam acara individu wanita BC4 (kecacatan fizikal) di sini, hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu ternyata sukar digugat Noor Askuzaimey apabila menguasai permainan sejak end pertama sebelum menamatkan aksi dengan keputusan 1-7 dalam pertemuan sulung mereka di South Paris Arena 1.

Awal hari ini, pemain berusia 38 tahun itu tumpas di peringkat separuh akhir kepada atlet Hong Kong Cheung Yeun  0-7 manakala Chica Chica pula tewas tipis kepada wakil China Lin Xinmei 3-4 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Jurulatih boccia negara Raja Zahrule Azhar Raja Khairul Anwar berkata mereka sememangnya tidak meletak harapan tinggi kepada Noor Askuzaimey untuk mara sejauh ini dalam penampilan sulungnya di pentas Paralimpik.

“Beliau sebelum ini menyertai skuad boccia negara pada 2017 dan berhenti pada 2020. Kemudian pada 2023, beliau kembali ke dalam skuad negara pada tahun lepas.

“Disebabkan itu beliau mempunyai persiapan singkat hampir setahun setengah menyesuaikan diri semula dengan suasana pertandingan tertinggi seperti Paris 2024. Bagaimanapun, saya tetap bangga dengannya,” katanya ketika ditemui di zon campuran di sini.

Noor Askuzaimey membuka kempen sulungnya di Sukan Paralimpik dengan cemerlang apabila menang kesemua perlawanan Kumpulan B dengan mengalahkan Nataliia Konenko dari Ukraine 8-6 diikuti kemenangan tipis ke atas Alison Levine dari Kanada 3-2 dan membelasah Hanaa Elfar dari Mesir 11-3.

Juara Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan B meneruskan momentum kemenangan dengan menyingkirkan Chrisy Morfi Metzou dari Greece 7-0, semalam.

Beliau masih berpeluang untuk menebus kehampaannya dengan beraksi bersama Abdul Razzaq Abdul Rahman dalam acara beregu campuran (mixed pairs) BC4, selepas ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan