BELANJAWAN 2024 > BERITA

SUKMA 2024: Peranan, Sumbangan Media Dapat Perhatian Premier Sarawak

23/08/2024 03:02 PM

KUCHING, 23 Ogos (Bernama) -- Peranan serta sumbangan pengamal media sepanjang berlangsungnya temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dalam menyampaikan maklumat mendapat perhatian Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata Abang Johari memuji pengamal media yang bukan sahaja melaporkan berita tentang pertandingan serta kemenangan, malah turut melaporkan berita yang menyentuh hati, momen keakraban dan kemanusiaan.

“Saya ingin menyampaikan pesanan Premier kelmarin semasa mesyuarat Kabinet. Premier menekankan tentang kreativiti dan dedikasi wartawan dalam melaporkan berita yang menarik sepanjang SUKMA.

“Cerita-cerita seperti ini yang menggambarkan semangat perpaduan dan kemanusiaan adalah penting untuk dikongsi selain daripada persaingan dan isu sensasi,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Picture of the Day dan Article of the Day sempena SUKMA 2024 di sini hari ini.

Abdullah berkata bagi menghargai kerja keras dan dedikasi media, Sekretariat SUKMA dan UKAS menganjurkan pertandingan foto serta artikel terbaik sepanjang SUKMA 2024 berlangsung.

“Walaupun jumlah diberikan tidak banyak, penghargaan tersebut amat bermakna bagi mereka yang telah bekerja keras dalam menyampaikan berita dan dokumentasi.

“Ini adalah daripada pihak sekretariat, ada satu lagi daripada pihak UKAS yang akan disampaikan selepas SUKMA berakhir. Akan ada majlis khas bersama media secara santai dan hadiah disampaikan pada hari tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pemenang bagi kedua-dua kategori ini masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM2,000 untuk tempat pertama, kedua (RM1,000) dan tempat ketiga (RM500).

UKAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bermula 13 Ogos hingga semalam, sebanyak 177 penyertaan bagi kategori foto dan 101 artikel telah diterima dan kesemua pemenang harian membawa pulang hadiah wang tunai RM100.

Dua jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Syafiq Hashim dan Zulfadhli Zulkifli antara sembilan pemenang foto terbaik harian manakala wartawan sukan Bernama Muhammad Zulkarnain Mohd Azman tersenarai sebagai lapan pemenang bagi kategori artikel harian terbaik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan