BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pengamal Media Guna Pelan Pascabayar, Prabayar Terima Rebat Sempena Bulan Kebangsaan

03/09/2024 04:59 PM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Semua pengamal media yang menggunakan pelan pascabayar dan prabayar akan menerima rebat sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pengamal media yang menggunakan pelan prabayar untuk memastikan nombor telefon mereka berdaftar dengan Jabatan Penerangan, supaya urusan perolehan rebat dapat diselaraskan.

“Ada sejumlah pengamal media yang memaklumkan mereka tidak menggunakan pelan pascabayar. Jadi kami telah mendengar, menerima pandangan itu dan saya telah meminta supaya pihak kementerian berhubung dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Maka semua pengamal media tahun ini (sempena Bulan Kebangsaan) akan mendapat rebat, sama ada mereka menggunakan plan pascabayar ataupun prabayar,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media iaitu tawaran rebat bil telefon pelan pascabayar kepada pengamal media secara sekali beri, dilaksanakan bagi bayaran bil Ogos tahun ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan insentif yang diperkenalkan tahun lepas itu diteruskan tahun ini, seperti diumumkan Fahmi pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Mei lepas. 

Fahmi berkata jumlah rebat akan diselaraskan oleh syarikat telekomunikasi dan pelaksanaan akan diteliti Kementerian Komunikasi.

“Jadi tahun ini, apa yang telah diperoleh dari segi rebat adalah lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan