BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tahniah Skuad Terjun Sarawak, Negeri Lain Bila Lagi?

25/08/2024 04:11 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUCHING, 25 Ogos (Bernama) -- Penguasaan Sarawak dalam acara terjun di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 wajar diberikan pujian namun pada masa sama negeri-negeri lain diharap seiring meningkatkan pembangunan di peringkat akar umbi.

Jika usaha tidak dilaksanakan, secara tidak langsung ia mengehadkan kemunculan bakat baharu yang boleh digilap oleh Persatuan Renang Malaysia (MAS) untuk dibawa ke pentas antarabangsa.

Pengarah Teknikal skuad terjun kebangsaan Bryan Nickson Lomas berkata sudah tiba masanya negeri-negeri lain meningkatkan usaha mereka khususnya yang sudah mempunyai kemudahan hebat untuk pembangunan sukan itu.

Pada SUKMA 2024, Sarawak kekal sebagai ‘kilang’ melahirkan bakat baharu sukan terjun apabila mempertahankan penguasaan dengan membolot sembilan emas, tiga perak dan dua gangsa di Pusat Akuatik Pandelela Rinong.

Wilayah Persekutuan berjaya mencuri tiga emas dan masing-masing empat perak dan gangsa, manakala Terengganu (0-3-5), Perak (0-2-2) dan Sabah (0-1-1) menjadi hanya lima negeri yang membawa pulang pingat selepas saingan lima hari berakhir Jumaat lepas.

Pencapaian pelapis kebangsaan seperti Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin yang meraih tiga emas dan sebutir perak, dan Nurul Farisya Alia Affendi dengan tiga emas serta penerjun lelaki Elvis Priestley Clement (2-1-0) sememangnya dijangkakan, dan kesemuanya dari Sarawak.

Namun, tidak dinafikan perkembangan positif turut dipamerkan barisan penerjun muda dari negeri-negeri lain yang boleh diketengahkan.

“Secara keseluruhan, Sarawak kekal sebagai kuasa besar, namun kita mahu negeri-negeri lain turut meningkatkan usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu sukan terjun. Saya lihat Terengganu ada peningkatan manakala Kedah, Selangor dan Johor dalam proses untuk memperkuatkan program mereka.

“Saya harap Melaka turut memulakan program baharu kerana mempunyai kemudahan yang agak baik. Adalah biasa untuk melihat penerjun kebangsaan dan pelapis mendominasi, tetapi ada kejutan daripada atlet negeri dan ia sesuatu yang positif,” katanya kepada Bernama.

Menurut Bryan, beberapa bakat baharu berada dalam radar antaranya wakil Terengganu Uzlifatil Jannah Ashraf dan Muhammad Lutfir Rahman Mohammad Razak dari Sarawak yang masing-masing berusia 15 tahun.

Uzlifatil Jannah meraih perak 1m papan anjal wanita dan gangsa platform seirama wanita dan 3m papan anjal seirama campuran manakala Muhammad Lutfir pemenang emas acara platform seirama campuran dan perak 1m papan anjal.

“Kita boleh cadangkan untuk diserap ke dalam program pelapis kebangsaan. Selain itu kebanyakan atlet memang ada dalam program pelapis dan podium,” katanya. 

Sementara itu, saingan di kolam renang menyaksikan Wilayah Persekutuan muncul juara keseluruhan dengan 16 emas, lapan perak dan tujuh gangsa daripada 41 pingat emas yang dipertandingkan, diikuti Selangor (13-19-7) dan Sarawak (9-1-7).

Beberapa prospek masa depan turut dikenal pasti termasuk Atlet Terbaik Lelaki SUKMA 2024, Andrew Goh yang meraih lima emas, termasuk memecahkan rekod kebangsaan acara 100m kuak dada (1:01.39s) dan 50m kuak dada sebanyak dua kali, dengan catatan terbaharu 27.40s pada aksi final, melepasi rekod Sukan SEA 27.56s yang dicatatkan perenang Indonesia Felix Viktor Iberie pada edisi 2023 di Kemboja.

Wakil Wilayah Persekutuan, Muhammad Dhuha Zulfikry (empat emas, mencatat empat rekod SUKMA baharu dan dua perak) antara yang menyinar, diikuti Kelly Teo Yao (enam emas, sebutir perak dan gangsa) dan perenang Selangor Lim Shun Qi (lima emas dan dua perak berserta satu rekod temasya).

Secara keseluruhan, sebanyak tiga rekod kebangsaan dan 16 rekod temasya telah dileburkan sepanjang lima hari saingan kolam renang yang menawarkan 41 pingat emas. 

Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bakat-bakat yang dikenal pasti menerusi SUKMA perlu dihantar menyertai lebih banyak kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk terus mengembangkan keupayaan mereka. 

“Kita juga berharap renang mendapat lebih tajaan daripada pihak swasta untuk bersama-sama membantu kita supaya lebih banyak pertandingan dapat diwujudkan. Sukar untuk membangun dan mengembangkan bakat tanpa sokongan yang baik. 

“Kita ada beberapa rekod dipecahkan, mereka seterusnya akan ke Sukan SEA dan kejohanan-kejohanan lain, kita perlu terus beri mereka peluang bertanding sekerap yang boleh. Saya juga berharap negeri meneruskan pembangunan dalam acara-acara tertentu, contohnya Sarawak bagi terjun,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan