BELANJAWAN 2024 > BERITA

Aliran Maklumat Ke Korea Utara Penting Untuk Perubahan – Bekas Diplomat

25/08/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Korea Utara berhadapan dengan cabaran dalaman yang serius, termasuk masalah ekonomi dan ketegangan sosial yang semakin meningkat.

Walaupun menghadapi isu-isu ini, rejim itu tetap meneruskan pembangunan peluru berpandu, dengan terbaru mengarahkan pembinaan 1,000 peluru berpandu balistik KN-24.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan BBC pada 2 Ogos, Ri Il Kyu, pegawai tertinggi Korea Utara yang berpaling tadah sejak 2016, berkongsi pandangan yang jarang didengar mengenai pandangan dan harapan negara itu.

Ri mendakwa bahawa Korea Utara masih melihat bekas presiden AS, Donald Trump sebagai rakan rundingan yang berpotensi dalam isu program senjata nuklearnya, meskipun rundingan terdahulu gagal pada 2019.

Kim Dong Soo, penasihat kanan di Institut Strategi Keselamatan Nasional yang berpusat di Seoul dan bekas diplomat Korea Utara, turut berkongsi pandangannya dengan Bernama mengenai kenyataan terbaru ini.

“Di Korea Utara, diplomat biasanya mempunyai kepentingan besar dalam rejim. Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai diplomat mula mempertimbangkan semula kesetiaan kepada pemimpin mereka.

"Dalam konteks ini, penghijrahan beramai-ramai diplomat Korea Utara yang bekerja di luar negara, diikuti dengan pembelotan mereka ke Korea Selatan membawa kepada pendedahan ketidakpuasan hati yang meluas terhadap rejim Kim Jong Un, bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat tetapi juga di institusi negara pada peringkat wilayah, bandar dan ketenteraan," katanya.

Masa depan Korea Utara bergantung kepada tindak balas rakyatnya.

Kim Dong Soo berpendapat bahawa penyebaran maklumat dari luar, terutamanya dari Korea Selatan boleh memberi kesan besar kepada rakyat dan mendorong perubahan.

Beliau mencadangkan bahawa usaha untuk menghantar maklumat yang tepat ke dalam Korea Utara mungkin lebih berkesan daripada tindakan ketenteraan.

“Kini lebih penting untuk menyasarkan kepimpinan Korea Utara iaitu kelas pertengahan yang terpaksa setia membuta tuli, dan kelas bawahan yang terus dipinggirkan oleh Kim (Jong Un) bagi menghubungkan isu hak asasi manusia di Korea Utara dengan momentum untuk perubahan rejim,” katanya.

Kim Dong Soo menekankan bahawa selain meningkatkan kesedaran dunia tentang keadaan hak asasi manusia di Korea Utara, adalah penting untuk mendidik rakyat Korea Utara mengenai nilai kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Beliau mencadangkan penggunaan siaran, bahan bercetak, filem, dan MP3 untuk menyampaikan mesej-mesej ini, membantu tentera dan rakyat biasa Korea Utara memahami kehidupan dalam masyarakat yang bebas dan demokratik.

Beliau juga menekankan pentingnya rakyat Korea Utara sedar bahawa sokongan masyarakat antarabangsa dalam usaha-usaha ini adalah penting, kerana ia boleh membawa kepada kebangkitan dalam Korea Utara yang menyokong reformasi dan keterbukaan.

Komuniti global sedang memantau dengan teliti dan kejayaan usaha-usaha ini boleh memainkan peranan penting dalam masa depan Semenanjung Korea, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan