BELANJAWAN 2024 > BERITA

Eksport Durian Malaysia Dijangka Cecah RM1.8 Bilion Menjelang 2030 - KPKM

25/08/2024 07:18 PM

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Nilai eksport durian diunjur terus meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang 2030, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata prestasi eksport durian negara dalam tempoh lima tahun iaitu 2018 hingga 2022 juga menggalakkan dengan nilai eksportnya melonjak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai RM1.14 bilion yang juga tertinggi dalam sejarah.

Durian juga secara keseluruhan adalah penyumbang utama atau 58.6 peratus kepada nilai eksport buah-buahan negara pada 2022 daripada nilai keseluruhan RM2.01 bilion.

“China merupakan pasaran eksport utama buah durian Malaysia dengan nilai eksport RM887 juta pada 2022 iaitu tertinggi dalam sejarah pengeksportan durian ke negara itu,” katanya.

Penghantaran durian segar pertama Malaysia ke China semalam, kata KPKM,  juga selamat tiba Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, hari ini. 

Pengeksportan pertama durian segar itu adalah hasil daripada Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar Dari Malaysia ke Republik Rakyat China yang dimeterai pada 19 Jun lepas.

“Tambahan akses durian segar ini memberi peluang kepada usahawan tempatan bagi meneroka pasaran di China, seterusnya meningkatkan pendapatan mereka memandangkan sebelum ini hanya durian sejuk beku sahaja dibenarkan dieksport," katanya.

Penerimaan buah durian segar pertama ke China itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bersama-sama Timbalan Gabenor Wilayah Henan Sun Shougang dan Pengurus Besar Zhongyu Aviation Group Liu Jianmin di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou.

Durian segar itu diedarkan oleh 10 syarikat pengimport menerusi outlet peruncitan di enam wilayah iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen dan Nanning. 

Terdahulu, Mohamad mengadakan pertemuan dengan Governor Wilayah Henan Wong Kai dan secara bersama bersetuju bahawa kejayaan pengeksportan itu membuka peluang kerjasama sektor pertanian yang lebih meluas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan