BELANJAWAN 2024 > BERITA

USD/MYR Diunjur Berada Antara 4.20 Hingga 4.25 Akhir Tahun Ini - MIER

26/08/2024 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan ringgit boleh mengukuh kepada antara 4.20 hingga 4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini, melonjak daripada 4.59 yang direkodkan pada penghujung 2023.

Bagaimanapun, MIER berhati-hati dalam unjurannya memandangkan kekukuhan berterusan dolar AS mungkin mengekalkan purata kadar pertukaran ringgit pada sekitar 4.60 hingga 4.64, sedikit tinggi berbanding purata 2023 pada 4.56.

MIER menjelaskan ringgit boleh meraih manfaat lebih daripada sekadar dasar monetari AS.

Institusi itu memaklumkan faktor domestik seperti pembaharuan fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit belanjawan serta pertumbuhan kukuh KDNK yang dijangka dapat dicapai, jika tidak melebihi lima peratus pada 2024, juga masih boleh menyokong mata wang tempatan.

“Pelaburan langsung asing yang besar, penghantaran balik dana daripada syarikat berkaitan kerajaan, serta kemampanan lebihan akaun semasa yang didorong oleh eksport kukuh elektronik, pelancongan dan perkhidmatan meneguhkan lagi prospek ringgit,” menurut MIER dalam Tinjauan Ekonomi Bulanan Julai 2024, dikeluarkan pada Isnin.

MIER menekankan pelaburan asing dalam pasaran ekuiti dan bon Malaysia merupakan satu lagi faktor positif.

Selepas aliran keluar RM823.6 juta pada awal tahun, pasaran ekuiti mencatatkan aliran masuk bernilai RM1.3 bilion pada Julai.

Dalam pada itu, nilai aliran masuk asing ke dalam pasaran bon berjumlah RM874.6 juta pada separuh pertama 2024.

Walaupun ringgit berada di bawah nilai, petunjuk seperti Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) dan Kadar Pertukaran Efektif Sebenar (REER) menunjukkan nilai saksamanya berada antara 3.90 hingga 4.20 berbanding dolar AS, jelas institusi penyelidikan itu.

MIER menjelaskan jangkaan terhadap penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) pada September semakin tinggi, didorong kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemelesetan berikutan data pekerjaan pada Julai yang lemah.

Sentimen pasaran telah beralih kepada kemungkinan penurunan kadar sebanyak 50 mata asas pada September dan November, berpotensi merendahkan Kadar Dana Persekutuan daripada julat semasa antara 5.25 hingga 5.50 peratus.

“Penurunan kadar terkumpul sebanyak 100 mata asas pada 2024 boleh mengurangkan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia kepada 125 hingga 150 mata asas, berpotensi memberikan manfaat kepada ringgit apabila pelabur mahu mempelbagaikan portfolio mereka untuk mencari pulangan yang lebih tinggi,” tambah MIER.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan