BELANJAWAN 2024 > BERITA

IP Malaysia Meningkat Beri Petunjuk Momentum Positif Ekonomi Berterusan Pada Separuh Kedua 2024 - MIDF

26/08/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Indeks Pelopor (IP) Malaysia yang terus meningkat menunjukkan momentum positif dalam ekonomi negara dijangka berterusan pada separuh kedua 2024, menurut MIDF Research.

“Ini menyokong semakan semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 kepada 5.0 peratus berikutan kami menjangka pertumbuhan ekonomi negara akan terus disokong oleh perbelanjaan domestik yang meningkat dan aktiviti perdagangan luar yang pulih,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

IP Malaysia naik 3.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024, sedikit di bawah pertumbuhan 3.8 peratus yang dicatatkan pada Mei 2024, menjadikan peningkatan bulan ketujuh berturut-turut.

Pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh kenaikan Indeks Perindustrian Bursa Malaysia.

“Bagaimanapun, IP merosot 0.7 peratus bulan ke bulan pada Jun, penguncupan bulanan kedua berturut-turut berikutan penurunan dalam semua komponen IP dari Mei 2024, kecuali Indeks Perindustrian Bursa Malaysia dan penawaran wang benar, M1,” katanya.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) naik 2.6 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024, didorong terutamanya oleh kenaikan 8.5 peratus tahun ke tahun dalam caruman benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan peningkatan 6.4 peratus tahun ke tahun dalam indeks kuantiti perdagangan runcit.

“IS turut mencatatkan kenaikan 0.2 peratus bulan ke bulan, dengan semua komponen menyumbang secara positif kecuali penggunaan kapasiti dalam sektor pembuatan,” menurut firma penyelidikan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan