BELANJAWAN 2024 > BERITA

Proses Libatkan Pengampunan Pesalah Perlu Dipatuhi - Fahmi

26/08/2024 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Sebarang proses melibatkan pengampunan terhadap pesalah perlu dipatuhi oleh semua pihak, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata ini kerana mana-mana kes yang melibatkan pengampunan pesalah itu mempunyai proses tertentu.

“Secara umumnya, mana-mana kes yang melibatkan pengampunan ada prosesnya dan kita patuh dan turuti proses itu. Selain itu, saya rasa fokusnya adalah kepada proses tersebut. Itu yang menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pentarama dan Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, di sini hari ini.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 baru-baru ini, beberapa perwakilan telah membawa usul pembebasan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara hingga Ogos 2028.

Berhubung dakwaan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh mengenai liputan telekomunikasi kurang memuaskan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Fahmi berkata masalah itu mungkin disebabkan isu teknikal membabitkan liputan ‘in-building’ di WTC.

Beliau mencadangkan supaya Muhammad Akmal merujuk perkara itu kepada pengurusan WTC, atau berhubung dengan Pengarah Urusannya Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

“Isunya ialah liputan in-building, berbeza kalau masalahnya di luar.…isunya mungkin ramai orang pada satu-satu ketika (masa di WTC) dan ia masalah yang sama berlaku apabila stadium penuh sebagai contoh. Jadi ini yang perlu kita teliti,” katanya.

Mengenai tindakan Perikatan Nasional (PN) mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Fahmi menyifatkan PN seolah-olah masih belum ‘move on’ daripada kekalahan pada PRK berkenaan.

“Kalau dia (PN) tidak boleh ‘move on’, ikutlah proses (undang-undang), seperti Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun nampaknya belum boleh ‘move on’,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan PN sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon BN pada PRK Nenggiri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan