BELANJAWAN 2024 > BERITA

MIH Megatrends 2024: Penglibatan MCMC Mampu Tingkat Kesalinghubungan Perkhidmatan Kesihatan - Fahmi

26/08/2024 03:21 PM

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam Persidangan Kesihatan Antarabangsa (MIH) Megatrends 2024 mampu meningkatkan aspek kesalinghubungan dalam sektor perkhidmatan kesihatan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia susulan inisiatif MCMC menggalakkan pendigitalan sektor kesihatan dengan farmasi dan klinik swasta pada bulan November lepas untuk meningkatkan kesalinghubungan supaya perkhidmatan lebih baik diberikan kepada masyarakat.

"Keberadaan MCMC dalam MIH Megatrends 2024 dari 25 hingga 27 Okt ini bukan sekadar perubatan, tapi juga aspek kesalinghubungan dalam sektor kesihatan dapat diketengahkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare dan MCMC, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini.

Fahmi berkata penglibatan MCMC dalam MIH Megatrends 2024 bukan sahaja menjana perbincangan, tetapi juga memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan kesihatan untuk memikirkan keperluan masa hadapan.

Dr Dzulkefly pula berkata peranan MCMC sebagai "Future Healthcare Frontier Partner" untuk penganjuran MIH Megatrends 2024 adalah signifikan dalam mengangkat taraf persidangan itu sebagai peneraju inovasi pernjagaan kesihatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata penglibatan MCMC juga penting dalam memacu perbincangan mengenai langkah diambil oleh pihak berkepentingan lain dalam industri teknologi dan penyelesaian terkini, dalam menjalin kerjasama untuk meningkatkan aksesibiliti dan kualiti penjagaan kesihatan untuk rakyat.

"Tahap peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan kanser, merupakan faktor utama yang secara kumulatiftnya menyumbang kepada beban penyakit yang membimbangkan serta memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

"Strategi kami untuk menangani cabaran ini termasuklah memperbaiki perkhidmatan penjagaan utama kami dan memberi keutamaan kepada inovasi berasaskan data, satu pendekatan yang sedang giat diusahakan oleh KKM melalui agenda pendigitalan," katanya.

MIH Megatrends 2024 anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare merupakan platform bagi pemain industri penjagaan kesihatan global, profesional, penggerak pembaharuan dan pembuat dasar untuk membincangkan kemajuan teknologi terkini dan memupuk kerjasama.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan