BELANJAWAN 2024 > BERITA

LTdL Perlu Lebih RM15 Juta

26/08/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dijangka memerlukan perbelanjaan lebih RM15 juta apabila perlumbaan edisi ke-28 akan memasuki Pulau Langkawi dan berakhir di Bintulu, Sarawak.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub berkata jumlah itu lebih tinggi berbanding edisi tahun lepas kerana terpaksa menampung kos logistik melibatkan penerbangan ke Pulau Langkawi dan Sarawak. 

"Saya tidak boleh mendedahkan angka sebenar kerana kos agak tinggi sedikit, tetapi kita (MSN) ada bajet kita sendiri. Kadang-kadang bajet penganjuran LTdL ini boleh berubah pada bila-bila masa. 

"Kali ini perlumbaan edisi ke-28 sedikit berbeza kerana kita akan menyeberang lautan dengan mengadakan perlumbaan di Pulau Langkawi dan Sarawak. Oleh itu, bajet akan tertumpu kepada logistik dan menyebabkan peningkatan kos," katanya pada Majlis Pengumuman Penajaan & Kerjasama Pintar Tourism Malaysia dan Sidang Media LTdL 2024 di MSN Bukit Jalil di sini hari ini. 

Pada edisi lepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya memperuntukkan RM8 juta, tetapi sebagai penganjur, MSN memerlukan bajet lebih besar iaitu sekitar RM15 hingga RM16 juta untuk menjayakan perlumbaan kelas dunia itu.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata setakat ini penajaan bagi menganjurkan perlumbaan berprestij itu berjalan lancar kerana terdapat beberapa syarikat bakal memuktamadkan kerjasama tidak lama lagi.

Beliau berkata buat masa ini Tourism Malaysia bersetuju meneruskan kerjasama strategik dengan penajaan bernilai RM1 juta sekali gus menjadi pemegang jersi Polka Dot Raja Bukit.

“Kita akan buat pengumuman berkaitan penajaan, cuma saya belum boleh umumkan berapa jumlah kerana ada yang masih dalam perbincangan dan ada yang belum umumkan sepenuhnya berapa mereka nak beri, ada penaja yang belum ada angka penajaan.

Perlumbaan sejauh 1,190 kilometer itu bakal menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan selain dua peringkat dilangsungkan di Sarawak iaitu Miri serta Bintulu.

Ia akan bermula di Langkawi untuk peringkat pertama, diikuti peringkat kedua Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highland (peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (peringkat 6), Miri ke Bintulu (peringkat 7) dan Bintulu (peringkat 8).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan