BELANJAWAN 2024 > BERITA

MSN Sokong Keputusan Kerajaan Jadikan Sarawak Penganjur Bersama Sukan SEA 2027

26/08/2024 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) menyokong keputusan kerajaan yang bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA apabila tiba giliran Malaysia menjadi tuan rumah bagi temasya sukan serantau itu pada 2027. 

Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub berkata keputusan itu merupakan isyarat positif buat industri sukan tanah air terutama dalam usaha meningkatkan prestasi atlet kebangsaan dengan penganjuran temasya besar di dalam negara. 

Beliau berkata penganjuran Sukan SEA di luar Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang asing bagi negara ini. 

“Keputusan itu perlu dimuktamadkan pada mesyuarat Jemaah Menteri. Insya-Allah kalau tiada aral, minggu ini ia dimuktamadkan. Ini petanda baik untuk sukan kita ataupun industri sukan kita, bermakna kita menanti-nantikan perkara ini. 

“MSN sangat menyokong perkara ini kerana ia juga boleh membantu peningkatan persembahan ke satu tahap lagi bagi atlet kita,” katanya pada Majlis Pengumuman Penajaan & Kerjasama Pintar Tourism Malaysia dan Sidang Media Le Tour de Langkawi 2024 di MSN Bukit Jalil di sini hari ini. 

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri Sarawak dan Pulau Pinang sudah memberi respon positif dari segi penganjuran bersama dan kewangan selain tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa negeri lain turut akan terlibat sama dengan penganjuran temasya sukan berkenaan. 

Dalam pada itu Abdul Rashid berkata buat masa ini sebahagian daripada kemudahan yang ada di negeri bumi kenyalang itu berada dalam tahap terbaik untuk penganjuran temasya antarabangsa, manakala terdapat juga sebahagiannya perlu ditambah baik. 

“Mungkin sebahagian lagi kemudahan (di Sarawak) kita perlu lihat kembali, mungkin perlu sedikit penambahbaikan ataupun peningkatan, tapi rasanya tidak memerlukan kos yang banyak kerana kesediaan tempat-tempat itu sudah mencukupi. 

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya dwitahunan itu apabila tiba giliran negara menjadi tuan rumah pada 2027 nanti.

Beliau berkata keupayaan Sarawak untuk menjadikan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sebagai antara penganjuran temasya sukan yang terbaik pernah diadakan, membuatkan beliau bersetuju memberikan tanggungjawab sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA edisi 2001 dengan penganjuran bersama negeri Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan bilamana kontinjen negara menjadi pemenang keseluruhan dengan 111 pingat emas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan