BELANJAWAN 2024 > BERITA

Akta 854 Mula Berkuat Kuasa Hari Ini

26/08/2024 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) akan mula berkuat kuasa hari ini setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Jun lepas dan disiarkan dalam Warta pada 26 Jun.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri selaku Menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan siber turut menetapkan hari ini sebagai tarikh kuat kuasa peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 854.

Peraturan-peratuan tersebut adalah Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Tempoh bagi Penilaian Risiko Keselamatan Siber dan Audit) 2024; dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024;

Turut berkuat kuasa Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024 dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024 .

“Peraturan-Peraturan di atas telah disiarkan dalam Warta pada 22 Ogos 2024,” menurut kenyataan ini.

Akta 854 digubal bagi meningkatkan keselamatan siber negara dengan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN); kewajipan dan kuasa Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA); fungsi dan kewajipan ketua sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII), serta entiti NCII itu sendiri.

Selain itu ia turut digubal untuk pengurusan ancaman keselamatan siber dan insiden keselamatan siber terhadap NCII; mengawal selia pemberi perkhidmatan keselamatan siber melalui pelesenan dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.

Menurut kenyataan itu di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Tempoh bagi Penilaian Risiko Keselamatan Siber dan Audit) 2024, suatu entiti NCII yang memiliki atau mengendalikan suatu NCII, hendaklah membuat penilaian risiko keselamatan siber sekurang-kurangnya sekali setahun.

Entiti berkenaan juga perlu menjalankan audit sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun atau pada kekerapan yang lebih tinggi sebagaimana yang boleh diarahkan oleh Ketua Eksekutif dalam mana-mana hal tertentu.

Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024 pula menetapkan supaya orang yang diberi kuasa bagi entiti NCII hendaklah memberitahu dengan segera melalui cara elektronik mengenai suatu insiden keselamatan siber yang telah berlaku, atau mungkin telah berlaku.

Kemudian orang yang diberi kuasa hendaklah mengemukakan butiran awal dalam masa enam jam daripada insiden keselamatan siber itu diketahui oleh entiti NCII melalui “Sistem Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara” (NC4 System).

Selanjutnya orang yang diberi kuasa bagi entiti NCII itu perlu mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh 14 hari melalui “NC4 System”. Butiran awal dan maklumat tambahan yang perlu dikemukakan adalah seperti yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber).

Sementara itu, Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024 adalah terpakai bagi individu dan syarikat yang memberi perkhidmatan keselamatan siber yang berhubungan dengan perkhidmatan pemantauan pusat operasi keselamatan terurus dan perkhidmatan pengujian penembusan (Penetration Testing Service).

Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024 pula memperuntukkan berhubung kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun melibatkan subseksyen 20(6), 20(7), 22(7), 22(8), 24(4) dan 32(3).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan