BELANJAWAN 2024 > BERITA

Keracunan Makanan: Perkhidmatan Pengusaha Kantin SBP Tamat November Ini

26/08/2024 05:23 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan penyediaan makanan oleh pengusaha kantin di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Nerus yang terkait dengan isu keracunan makanan melibatkan sekumpulan pelajar baru-baru ini, akan tamat November ini. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata sebelum ini pengusaha tersebut telah mengemukakan permohonan untuk menyambung kontrak selama setahun lagi.

“Bagaimanapun, apabila diambil kira perkhidmatan beliau…dalam keadaan tidak mengizinkan ini bermakna perkhidmatan tersebut akan tamat hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Al-Quran Di Hati oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, di Sekolah Kebangsaan Serada di sini hari ini. 

Pada masa sama, Jelani berkata pihaknya mendapati kejadian dilaporkan pada 15 Ogos lepas membabitkan 32 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun yang mengalami gejala keracunan makanan setelah makan telur goreng disediakan pengusaha kantin tersebut, sebagai berpunca antaranya daripada kecuaian pihak sekolah. 

“Apa pun semua sudah balik ke sekolah semula dan telah selesai. Kita juga menunggu hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk pengesahan kes tersebut. 

“Kita juga akan hantar surat kepada sekolah-sekolah agar sentiasa bersiap-sedia dalam hal ini dan memberi perhatian yang teliti kepada pengusaha kantin supaya kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” katanya. 

Sebelum ini, JKNT memaklumkan arahan penutupan kantin sekolah berkenaan selama 14 hari hingga akhir bulan ini mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta 342 (Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988) bagi kerja sanitasi.

Sementara itu, Jelani berkata menerusi program Al-Quran Di Hati sebanyak 352 sekolah rendah dan 154 sekolah menengah di Terengganu akan memulakan sesi pembelajaran dengan membaca al-Quran dan terjemahan selama 15 minit atau satu muka surat setiap hari. 

Beliau berkata meskipun telah bermula sejak tahun lepas, dengan pelancaran program pada hari ini akan memperkasakan lagi inisiatif itu apabila JPNT mewajibkan seluruh sekolah di Terengganu membabitkan murid dan guru untuk menjayakannya. 

“Ini memang satu daripada KPI (petunjuk prestasi utama) kepada JPNT apabila anak-anak kita di sekolah rendah tamat darjah enam, kita harap mereka dapat khatam al-Quran sebelum ke sekolah menengah. 

“Program ini menggunakan sistem BIG atau Baca Ikut Guru dengan setiap kelas akan dibimbing dua orang guru setiap kali bacaan berlangsung dan ia akan direkodkan dalam rekod pencapaian al-Quran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan