BELANJAWAN 2024 > BERITA

Keuntungan Bersih Suku Kedua Bank Islam Naik Sedikit Kepada RM137.16 Juta

26/08/2024 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd naik sedikit kepada RM137.16 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2024, berbanding RM136.13 juta pada tempoh yang sama tahun lepas. 

Hasil meningkat kepada RM1.14 bilion daripada RM1.12 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh separuh tahun pertama berakhir 30 Jun, 2024, Bank Islam mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM266.33 juta daripada RM254.22 juta pada separuh pertama 2023, didorong oleh pendapatan bersih lebih tinggi dan elaun bersih rendah bagi rosot nilai pembiayaan, diimbangi oleh jumlah overhed yang lebih tinggi.

“Prestasi itu diterjemahkan kepada pendapatan sesaham sebanyak 11.75 sen (1H 2024) dan pulangan ekuiti (ROE) tahunan yang lebih baik sebanyak 7.4 peratus,” kata bank itu.

Sementara itu Bank Islam dalam satu kenyataan berasingan berkata peningkatan pendapatan bersihnya dipacu terutamanya daripada kenaikan 5.8 peratus pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM1.07 bilion yang didorong oleh pertumbuhan sekuriti pembiayaan dan pelaburan.

Bagi tempoh separuh pertama 2024, margin pendapatan bersih meningkat sembilan mata asas kepada 2.17 peratus berbanding 2.08 peratus pada separuh pertama 2023.

“Bagaimanapun, pendapatan bukan berasaskan dana susut sebanyak RM28.9 juta, atau 14.1 peratus, terutamanya disebabkan oleh pendapatan pelaburan yang lebih rendah,” katanya.

Elaun bersih bank bagi rosot nilai pembiayaan dan pendahuluan menurun sebanyak 37.3 peratus kepada RM77.5 juta, manakala nisbah kos kredit pembiayaan berada pada 0.23 peratus berbanding 0.38 peratus pada separuh pertama 2023.

Nisbah pembiayaan terjejas kasar berada pada 0.92 peratus setakat 30 Jun, 2024, di bawah purata industri pada 1.60 peratus.

“Jumlah aset bank meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM93.0 bilion pada 30 Jun 2024, dipacu oleh peningkatan sekuriti pembiayaan dan pelaburan, manakala aset bersih sesaham meningkat kepada RM3.35 daripada separuh pertama 2023.

“Pertumbuhan pembiayaan kasar dipacu oleh peningkatan 4.4 peratus pembiayaan pengguna dan 7.6 peratus pembiayaan komersial. Jumlah pembiayaan kasar meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM68.1 bilion walaupun penurunan dalam pembiayaan korporat.

“Akaun deposit dan pelaburan pelanggan meningkat 8.5 peratus kepada RM78.5 bilion. Akaun pelaburan semasa, simpanan dan transaksional (CASATIA) berjumlah RM29.1 bilion pada akhir Jun 2024, menghasilkan komposisi CASATIA yang kukuh sebanyak 37.0 peratus,” kata bank itu.

Mengenai prospek masa depan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata bank itu terus memberi tumpuan meningkatkan pendapatan bukan berasaskan dana, mengembangkan pengurusan harta dan memacu pertumbuhan pembiayaan.

“Kami akan terus memainkan peranan penting menyokong ekonomi dengan memperkasakan individu, perniagaan dan komuniti melalui usaha yang memacu kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan kewangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan