BELANJAWAN 2024 > BERITA

Qistina Bakal Terima Insentif Tambahan Sejumlah RM3,000

26/08/2024 07:13 PM

IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Atlet angkat berat Perak Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani bakal menerima insentif tambahan sebanyak RM3,000 daripada kerajaan negeri berikutan kejayaannya memecahkan tiga rekod kebangsaan kategori 45 kilogram (kg) wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Qistina, 19, dalam penyertaan keduanya pada temasya dwitahunan kebangsaan itu memecahkan rekod acara snatch dengan angkatan seberat 65kg, clean and jerk (79kg) seterusnya mendominasi podium dengan angkatan keseluruhan 144kg.

Pencapaian itu sekali gus memadam tiga rekod lama dicatatkan atlet negara Nurul Afiqah Zamzuri pada Sukan SEA Filipina 2019 dengan angkatan snatch 59kg, 77kg clean and jerk dan keseluruhan 136kg.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata kerajaan negeri memang menyediakan insentif tambahan untuk atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

“Tiga-tiga itu rekod kebangsaan, jadi dia layak untuk dapat satu rekod kebangsaan RM1,000, selain daripada (insentif) pingat emas bernilai RM5,000. Insentif itu memang kita dah siap sediakan dalam SUKMA ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut hadir dalam Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-52 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Saarani berkata meskipun kontinjen Perak gagal berada dalam kelompok lima teratas dengan kedudukan nombor tujuh, beliau berbangga dengan pencapaian 35 pingat emas yang diraih pada temasya itu.

“Saya ingat kita masih boleh lagi memperbaiki kelemahan kita lagi dua tahun untuk di Selangor (SUKMA),” katanya.

Dalam isu berasingan, Saarani berkata beliau selaku Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Perak akan memanggil satu mesyuarat melibatkan pengarah institusi pengajian tinggi yang berkaitan bagi membincangkan kebolehpasaran graduan masing-masing.

“Jadi sudah tentu apabila kita buat lima projek berimpak tinggi ini ialah kerana kita nak menggelakkan berlakunya penghijrahan orang muda Perak.

“Cuma kita bimbang mereka yang berada di mana-mana institusi pendidikan tinggi yang menawarkan TVET, sijil diploma dan ijazah kalau tak sesuai pula dengan pasaran itu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Saarani berkata projek berimpak tinggi termasuk Bandar Perindustrian Ma­ritim Lumut (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP), Silver Valley Technology Park (SVTP), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) dilaksanakan sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada lepasan TVET dan graduan kejuruteraan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan