BELANJAWAN 2024 > BERITA

Atlet Sarawak Raih Pingat Terima Insentif 14 Sept Ini

26/08/2024 03:42 PM

KUCHING, 26 Ogos (Bernama) -- Atlet Sarawak yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan menerima insentif masing-masing pada 14 Sept ini dalam majlis makan malam anjuran kerajaan negeri.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata lebih kurang 20 hari lagi untuk penganjuran majlis itu dan perlu disegerakan seperti yang telah dijanjikan.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu malam tadi dan diminta bersiap sedia sempena majlis makan malam berkenaan, itu jika tidak ada perubahan jadual daripada Pejabat Premier…kami akan memberi anugerah seperti yang dijanjikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata pemenang pingat acara berpasukan akan menerima insentif tidak kurang dari RM3,000 seorang untuk pingat emas, tidak kurang dari RM2,000 (perak) dan tidak kurang dari RM1,000 (gangsa).

Sarawak muncul juara keseluruhan SUKMA 2024 dengan memperolehi 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa dan kejayaan ini merupakan kali keempat selepas melakukannya dalam edisi SUKMA 1990, 1992 dan 1994.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan