BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pendekatan Holisitik Perlu Bagi Pembangunan Bakat - Kementerian Kewangan

26/08/2024 11:32 PM

GEORGE TOWN, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) menggesa sektor elektrik dan elektronik (E&E) melakukan pendekatan holistik terhadap pembangunan bakat (pekerja berkemahiran) demi memastikan Malaysia mendahului pesaingnya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata mengekalkan bakat yang kukuh kekal sebagai cabaran utama bukan sahaja untuk malaysia tetapi juga bagi negara lain yang terlibat dalam sektor itu.

“Saya percaya jika kita dapat menyelesaikan isu ini, kita akan mendahului dalam persaingan, justeru kita memerlukan pandangan jangka panjang mengenai pembangunan bakat.

"Ini termasuk menyemai minat dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di sekolah untuk memastikan pilihan kerjaya adalah menarik supaya pelajar memilih untuk meneruskan laluan ke arah industri tersebut," katanya ketika berucap di Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA), di sini, malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata kerajaan mengiktiraf kepentingan sektor itu memandangkan sektor E&E pada masa ini membentuk lebih 40 peratus daripada jumlah eksport negara, satu petunjuk jelas bahawa sektor itu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Beliau juga berkata kerajaan komited untuk menyokong industri, baru-baru ini kerajaan mengumumkan program yang diterajui MoF, GEAR-uP, direka untuk meningkatkan pertumbuhan dalam sektor ekonomi penting.

Di bawah program itu, enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) komited untuk melabur RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Enam GLIC terbabit ialah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH), dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera ( LTAT).

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang sebagai salah satu hab semikonduktor global terkemuka tidak boleh bergantung semata-mata kepada pelaburan langsung asing (FDI) tetapi juga meletakkan kepentingan kepada DDI.

“Kini, kita harus ubah istilah ‘Buatan Malaysia’ kepada ‘Buatan oleh Malaysia’ dengan memupuk syarikat pemula niaga tempatan yang mampu menghasilkan Harta Intelek (IP) Malaysia sendiri seperti dalam reka bentuk cip.

“Pulau Pinang berhasrat untuk mewujudkan ekosistem pembuatan cip yang komprehensif, membolehkan pengembangan pengeluar cip yang lebih besar sambil memupuk pertumbuhan yang menguasai pasaran global masa depan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam industri penting ini,” kata Chow.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan