BELANJAWAN 2024 > BERITA

Rebat Air Ditunjukkan Dalam Bil September-Disember 2024 - PBAPP

27/08/2024 03:14 PM

GEORGE TOWN, 27 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan 597,705 pengguna air domestik di negeri ini menerima manfaat daripada pemberian rebat air selama enam bulan bermula Julai hingga Dis 2024 yang melibatkan sebanyak RM11 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata rebat itu akan ditunjukkan dalam bil yang dikeluarkan secara dwibulanan dari tempoh Sept hingga Dis 2024.

Beliau berkata menerusi rebat itu pengguna tidak dicaj untuk penggunaan 10 meter padu (m3) atau 10,000 liter pertama air setiap bulan sekali gus membolehkan mereka menikmati penjimatan keseluruhan RM18.60 dalam tempoh berkenaan. 

“Pemberian rebat air sebagai mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan negeri Pulau Pinang pada Jun lepas melibatkan pengguna domestik sahaja dan tidak terpakai kepada pengguna bukan domestik, pengguna domestik pukal, pengguna perkapalan atau rumah ibadat dan institusi kebajikan.

“Bergantung pada tarikh pengebilan, pengguna domestik akan melihat rebat dalam bil yang dikeluarkan pada kitaran pengebilan Sept/Okt 2024 (RM12.40) dan Nov/Dis 2024 (RM6.20),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi penerima skim Rebat Mesra Keluarga iaitu isi rumah lapan orang ke atas dengan pendapatan maksimum RM5,580, mereka boleh melihat pemberian rebat RM20 dalam bil air domestik mulai Sept 2024 dan yang ingin memohon rebat boleh berkunjung ke pusat khidmat pelanggan PBAPP berhampiran.

Pada Jun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari meminta PBAPP memberikan rebat dalam bentuk air percuma 10,000 liter pertama bagi setiap bil air selama enam bulan dan meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan keluhan dan rintihan rakyat mengenai kadar tarif air domestik baharu yang dilaksanakan sejajar dengan pelarasan semula tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa sejak Feb 2024.

Sementara itu, Pathmanathan memaklumkan PBAPP sedang membuat pelarasan untuk mengehadkan jangka masa pengebilan dwibulanan kepada maksimum 63 hari mulai Oktober ini kerana had 63 hari adalah untuk menampung cuti umum dan cuti mingguan yang mungkin berlaku pada hujung pengebilan.

“Siasatan mengesahkan bahawa beberapa pengguna air domestik telah dibilkan untuk penggunaan dalam tempoh masa hingga 67 hari sejak Mac 2024, kelewatan itu disebabkan bilangan cuti umum sepanjang enam bulan lepas selain beban kerja pembacaan meter semakin meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, PBAPP menambah peruntukan tuntutan kerja lebih masa untuk pembaca meter bagi memastikan bil air dikeluarkan tepat pada masa selain akan menambah bilangan pembaca meter dalam tempoh enam bulan akan datang berkuat kuasa serta-merta.

“Mulai 1 Okt  2024, pengguna air domestik yang menerima bil meliputi tempoh masa melebihi 63 hari diminta mengunjungi Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP terdekat untuk pelarasan bil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan