BELANJAWAN 2024 > BERITA

Tiada Rancangan GLC Urus NR-REE Setakat Ini - Nik Nazmi

27/08/2024 04:33 PM

IPOH, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan setakat ini tiada sebarang perancangan untuk menguruskan hasil unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) termasuk melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya kini hanya dalam perbincangan melibatkan kerangka industri REE sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini supaya negara tidak sekadar menggali, tetapi turut menjual bahan mentah.

"Saya ingat Perak dah lalui proses itu sebelum ini sebagai pengeluar timah dan sebagainya, kita nak seperti dalam industri minyak, kita gali dan juga proses di negara ini, jadi dapat pulangan kepada negara.

"Jadi tentang soal untuk tubuhkan GLC dan sebagainya, tidak timbul buat masa ini walaupun ada dicadangkan di perbahasan Parlimen. Kita bergerak mengikut kerangka Perlembagaan dengan mineral selain daripada minyak dan gas terletak di bawah kerajaan negeri," katanya pada sidang media dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya terdapat rancangan untuk menubuhkan GLC bagi menguruskan hasil NR-REE di negeri terlibat.

Ditanya jika terdapat kekhuatiran hasil NR-REE mungkin diuruskan GLC, Nik Nazmi menjawab: "Tiada kekhuatiran itu."

Julai lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak berkata kerajaan negeri akan memastikan NR-REE kekal milik kerajaan negeri dan tidak akan diuruskan oleh GLC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan