BELANJAWAN 2024 > BERITA

Keuntungan Bersih Tahun Kewangan 2024 Hong Leong Industries Meningkat Kepada RM387.89 Juta

26/08/2024 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Hong Leong Industries Bhd meningkat kepada RM387.89 juta dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, daripada RM290.61 juta pada tahun sebelumnya disokong oleh margin tinggi jualan model motosikal. 

Syarikat pemasang motosikal itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata keuntungan bersih yang tinggi itu turut disumbangkan oleh pampasan insurans RM25 juta yang diterima akibat gangguan yang disebabkan banjir dalam perniagaan motosikalnya pada suku ketiga Tahun Kewangan 2022 dan keuntungan RM18.7 juta daripada penjualan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Hume Cemboard Industries Sdn Bhd (HCB).

Hasil, bagaimanapun, merosot kepada RM3.11 bilion daripada RM3.42 bilion berikutan jualan perniagaan motosikal yang lebih rendah pada tiga suku pertama tahun kewangan semasa.

Keuntungan bersih bagi suku keempat berakhir 30 Jun, 2024 meningkat kepada RM98.33 juta daripada RM69.29 juta, disumbangkan oleh jualan tinggi dalam perniagaan motosikal dan prestasi syarikat bersekutu yang bertambah baik, katanya.

Hasil kumpulan melonjak kepada RM773.66 juta daripada RM767 juta, disumbangkan terutamanya daripada jualan yang lebih tinggi dan permintaan terhadap motosikal.

Mengenai tinjauan masa depan, kumpulan itu berkata permintaan terhadap motosikal menunjukkan petanda peningkatan menuju ke akhir tahun kewangan semasa yang seterusnya akan memberi prospek yang baik bagi Tahun Kewangan 2025.

Syarikat itu juga akan terus menumpukan kepada produk, kedudukan pasaran dan kos untuk meningkatkan lagi prestasinya.

“Bagi sektor jubin kami, kumpulan kini komited untuk membina kilang baharu dengan pengeluaran dijangka bermula pada 2026.

"Selain sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah menjangka kumpulan mencapai keputusan yang memuaskan bagi Tahun Kewangan 2025," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan