BELANJAWAN 2024 > BERITA

Malaysia-Rusia Tingkat Kerjasama Penyelidikan Perkasa Pendidikan Tinggi

28/08/2024 12:29 AM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BURIRAM (Thailand), 27 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sedang meningkatkan kerjasama dengan Rusia dalam penyelidikan dan inovasi, menandakan langkah penting dalam strategi menyeluruh untuk mengukuhkan hubungan pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata Malaysia berminat untuk mendapatkan lebih banyak biasiswa, kerjasama penyelidikan dan peluang pertukaran pengetahuan dengan Rusia melalui Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC).

"Kementerian kami telah diberi tugas bersama rakan sejawat Rusia untuk mempengerusikan JCESTC, dengan penekanan khusus pada pendidikan tinggi,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN ke-13 (ASED) dan mesyuarat berkaitan pada Isnin.

Beliau menambah bahawa mesyuarat JCESTC yang akan datang, yang dijadualkan pada 9 hingga 11 Okt di Rusia, akan memberi tumpuan kepada pertukaran pelajar, perkongsian inovasi dan peluang latihan untuk pelajar Malaysia.

Sementara itu, pada mesyuarat ASED dan yang berkaitan, Megat Sany menyatakan hasrat Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan ASEAN bagi memacu pembangunan negara.

Beliau berkata meningkatkan kedudukan global institusi pengajian tinggi awam negara adalah strategi utama untuk meningkatkan geran penyelidikan untuk Malaysia.

“Malaysia kini mempunyai lima universiti penyelidikan yang berada dalam kelompok 200 teratas dalam QS World University Rankings 2025. Kami amat bangga dengan Universiti Malaya yang menduduki tempat ke-60 secara global, bersama empat universiti penyelidikan lain dalam kelompok 200 teratas.

"Kedudukan akademik yang kukuh ini meletakkan kita dalam kedudukan yang baik untuk mendapatkan lebih banyak geran, memperkukuh kolaborasi, dan memperluas program pertukaran pelajar dengan negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, China, Korea Selatan, dan Rusia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan