BELANJAWAN 2024 > BERITA

Persidangan Kebangsaan SSM 2024: Memperkukuh Ketelusan Korporat, Laporan Pemunyaan Benefisial

28/08/2024 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menganjurkan Persidangan Kebangsaan SSM ke-13 bertujuan memperdalam pemahaman ahli lembaga pengarah dan profesional korporat mengenai strategi meningkatkan daya tahan serta ketelusan korporat dalam kepesatan perubahan persekitaran perniagaan masa kini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dalam ucapan perasmian persidangan itu menyentuh mengenai kepentingan penambahbaikan Akta Syarikat 2016 yang berkuat kuasa pada 1 April tahun ini.

“Dalam penilaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) pada 2018, Malaysia mematuhi 20 cadangan FATF dengan 18 cadangan dipatuhi sepenuhnya dan dua lagi dipatuhi sebahagian. Penilaian bersama FATF pada 2024/2025 akan menjadi ujian yang sangat penting yterhadap keazaman kita.

“Kita mesti memperlihatkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai keteguhan integriti yang menyaksikan undang-undang dikuatkuasakan dan ketelusan dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SSM hari ini.

Persidangan maya dua hari bertemakan “Enhancing Corporate Transparency. Building Resilience” itu mengetengahkan pelbagai program termasuk 11 sesi pleno, 39 penceramah terkemuka dan 15 pameran maya sekali gus menawarkan pandangan menyeluruh mengenai isu-isu kontemporari dan penyelesaian dalam tadbir urus korporat.

Pindaan Akta Syarikat 2016 bertujuan memperkukuh kerangka kerja pemulihan korporat, membantu syarikat yang menghadapi cabaran kewangan sambil mempromosikan pemulihan ekonomi serta daya saing.

Menurut SSM, pindaan itu menumpukan kepada meningkatkan ketelusan korporat, khususnya dalam laporan pemunyaan benefisial (BO), memperkukuh usaha penguatkuasaan terhadap pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan jenayah serius yang lain.

“Ini selaras dengan komitmen Malaysia untuk memenuhi piawaian ditetapkan FATF dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam penilaian terhadap Malaysia bagi tahun 2024/2025.

“Akta Syarikat (Pindaan) 2024 memperkenalkan 31 klausa yang dibahagikan kepada empat kluster dasar, setiap satunya menangani aspek yang berbeza dalam tadbir urus korporat,” menurut kenyataan itu.

SSM menjelaskan bahawa Seksyen 56 Akta Syarikat 2016 memperkenalkan kerangka kerja untuk laporan BO yang memerlukan syarikat untuk mendapatkan, merekodkan dan melaporkan maklumat pemunya benefisial kepada pendaftar.

Pindaan akta ini juga termasuk definisi baharu bagi "pemunya benefisial" dan mewajibkan penyelenggaraan daftar pemunya benefisial bertujuan meningkatkan ketelusan dalam sektor korporat.

“Dengan menguatkuasakan pendedahan maklumat BO kepada SSM, pindaan akta ini juga menyokong agensi penguatkuasaan dan pengawalseliaan seperti Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha menyiasat dan memerangi jenayah serius termasuk pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai.

Division 8A of the Companies (Amendment) Act yang berkuat kuasa pada 1 April 2024, menetapkan rangka kerja terperinci untuk laporan BO. Rangka kerja ini memperuntukkan syarikat mesti memperoleh, mengenal pasti, mengesahkan, merekod dan mengekalkan maklumat BO dalam daftar mereka,” menurut SSM sambil menambah syarikat juga dikehendaki mengemukakan maklumat berkenaan kepada pendaftar dalam tempoh 14 hari dari tarikh maklumat direkodkan.

Tiada bayaran akan dikenakan untuk penyerahan atau pengemaskinian maklumat BO tetapi sebarang permohonan untuk membetulkan maklumat yang telah diserahkan akan dikendalikan mengikut Seksyen 602 Akta berkenaan. 

Bagaimanapun, tiada lanjutan diberikan untuk penyerahan maklumat BO dan syarikat yang gagal memenuhi tempoh masa ditetapkan bakal dikenakan penalti. 

“Dari 1 April hingga 30 Sept tahun ini, syarikat boleh menyerahkan dan mengemas kini maklumat BO tanpa perlu mematuhi syarat 14 hari seperti kelaziman. Dalam tempoh ini, penalti untuk penyerahan lewat tidak dikenakan, membolehkan syarikat memastikan rekod mereka tepat dan lengkap.

“Selain itu, syarikat yang telah menyerahkan maklumat BO kepada pendaftar tetapi perlu membuat pindaan maklumat mereka boleh berbuat demikian tanpa dikenakan sebarang bayaran,” menurut kenyataan itu.

Setakat 31 Julai 2024, sejumlah 374,774 daripada 677,351 syarikat aktif yang disenaraikan dalam daftar syarikat berjaya memenuhi keperluan untuk menyerahkan maklumat BO.

Ini mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk mematuhi standard pelaporan baharu yang diperkenalkan di bawah Akta Syarikat (Pindaan) 2024 selain komitmen memenuhi kewajipan undang-undang serta menyokong mattlamat keseluruhan dalam tadbir urus korporat dan akauntabiliti.

“Bagi membantu syarikat dalam proses ini, SSM mengeluarkan arahan amalan “Lodgement Of Beneficial Ownership Information Under The Companies Act 2016 Through e-BOS pada 13 Mei 2024.

“Arahan amalan itu menggariskan prosedur untuk penyerahan maklumat BO selaras dengan subseksyen 60B(7) akta berkenaan. Arahan itu boleh didapati di portal rasmi SSM di www.ssm.com.my,” menurut kenyataan itu.

Syarikat boleh menghubungi Khidmat Pelanggan SSM (SSMCC) melalui bahagian Aduan & Maklum Balas, SSM Chatbot, SSM Live Chat yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, atau hubungi talian 03-7721 4000 atau emel ke enquiry@ssm.com.my untuk sebarang pertanyaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan