BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pelesenan Media Sosial: Tiada Anjakan Tarikh Kuat Kuasa - Fahmi

28/08/2024 06:08 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan tahun depan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri. 

"Kekal 1 Jan 2025 lesen bagi media sosial dan sistem pesanan Internet berkuat kuasa. Tidak ada  anjakan atau perubahan pada tarikh itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata dua bentuk perkhidmatan yang akan dilesenkan ialah media sosial serta sistem pesanan Internet dan tidak melibatkan mana-mana aplikasi.

Pada 26 Ogos lepas, persatuan yang mewakili syarikat Internet dan teknologi terkemuka iaitu Gabungan Internet Asia (AIC) menggesa kerajaan agar menghentikan serta mempertimbang dengan teliti rancangan pelesenan untuk platform media sosial.

AIC, yang dianggotai antaranya Google, Meta, Amazon dan Grab, telah menghantar bantahan menerusi surat bertarikh 23 Ogos yang ditujukan kepada Perdana Menteri.

Kerangka bagi melesenkan media sosial dan pesanan Internet diluluskan oleh Kabinet pada 8 Mac lepas.

Pada 27 Julai lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Jan 2025.

Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan