BELANJAWAN 2024 > BERITA

TikTok Shop Latih Lebih 100,000 PMKS Melalui Kerjasama Dengan Kerajaan

28/08/2024 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- TikTok Shop melatih lebih 100,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan pada tahun ini.

Inisiatif itu adalah selaras dengan semangat ‘Jiwa Merdeka’ sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, bertujuan untuk menyokong ekonomi digital negara dengan melengkapkan kemahiran digital dalam kalangan perniagaan tempatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Anuar Fariz berkata organisasi itu kekal komited untuk menjadi rakan kongsi utama dalam memacu agenda transformasi digital Malaysia.

“Bersama-sama kita meningkatkan kemahiran perniagaan kecil dan jenama tempatan dengan pengetahuan, peralatan dan sumber yang diperlukan untuk berkembang dan berjaya di peringkat tempatan dan global, meletakkan asas bagi ekonomi digital yang lebih berdaya tahan dan inklusif serta mewujudkan peluang komersial yang berdaya maju kepada setiap rakyat untuk berjaya,” katanya.

TikTok Shop berkata agensi-agensi kerajaan yang bekerjasama dengannya termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk membantu perniagaan tempatan berkembang ke Singapura dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menyediakan latihan digital untuk PMKS pertanian dan orang kurang upaya.

Platform e-dagang itu juga menyokong inisiatif seperti kempen Sarawak Digital Mall dan Karnival TEKUN Madani serta terlibat dalam pertandingan penstriman langsung dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Selain itu, TikTok Shop bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk mengembangkan platform Desamall dan menyertai Festival Ramadan Putrajaya 2024 sebagai rakan rasmi.

Pengarah Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata melalui kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan kementerian, TikTok Shop telah melatih beribu-ribu usahawan luar bandar dan bandar bukan sahaja untuk jualan dalam talian tetapi juga dalam memanfaatkan perdagangan sosial melalui penciptaan kandungan,ahli gabungan pemasaran dan penstriman langsung.

“Hari ini, dengan lebih sejuta penjual di seluruh negara di platform kami, 98 peratus daripadanya adalah PMKS dan kita berharap untuk terus membolehkan PMKS tempatan saling berhubung dengan komuniti mereka dan membina asas pelanggan yang mampan. Kami bersyukur di atas sokongan dan kepercayaan berterusan daripada rakan kongsi kerajaan,” katanya.

TikTok Shop menambah usahawan yang bercita-cita tinggi, PMKS tempatan dan jenama dalam negeri yang ingin memaksimumkan potensi perniagaan mereka melalui perdagangan sosial harus mendaftar di TikTok Shop Seller Centre dan mendapatkan kursus tutorial secara langkah demi langkah di TikTok Shop Academy.

Platform itu berkata ia akan mengadakan Jualan Tawaran Hebat 9.9 pada September, menawarkan diskaun dan ganjaran kepada pengguna Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan