BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 BELANJAWAN 2024 > BERITA

Keuntungan Bersih 2024 Hong Leong Financial Group Naik 11 Peratus Kepada RM3.2 Bilion

29/08/2024 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 meningkat 11 peratus kepada RM3.20 bilion daripada RM2.88 bilion tahun lepas susulan prestasi bertambah baik dalam semua syarikat yang beroperasi.

Perolehan meningkat kepada RM6.65 bilion daripada RM6.48 bilion pada tahun kewangan 2023, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Kong Khoon berkata peningkatan keuntungan itu adalah hasil daripada pertumbuhan kukuh pinjaman dan pembiayaan, keuntungan pelaburan tinggi daripada segmen insurans, pendapatan pembrokeran yang bertambah baik dan sumbangan tinggi daripada syarikat bersekutu.

"Prestasi ini menunjukkan kekukuhan syarikat yang beroperasi di bawah kumpulan yang berjaya mengharungi persekitaran operasi yang mencabar di tengah-tengah ketidaktentuan luaran,” katanya dalam satu kenyataan.

HLFG mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 36 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi Tahun Kewangan 2024 sebanyak 54 sen sesaham, meningkat lima sen berbanding tahun sebelumnya.

Bahagian insurans kumpulan, HLA Holdings Sdn Bhd (HLAH), mencatatkan keuntungan sebelum cukai tinggi sebanyak RM606 juta, meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun disumbangkan terutamanya daripada pendapatan pelaburan yang lebih kukuh serta bahagian keuntungan tinggi daripada syarikat sekutunya.

Keuntungan sebelum cukai, bahagian perbankan pelaburan dan pengurusan asetnya Hong Leong Capital Bhd (HLCB) berkembang kukuh sebanyak 98.4 peratus kepada RM122 juta susulan peningkatan dalam semua anak syarikat yang beroperasi serta keuntungan pelaburan ekuiti yang tinggi.

Manakala keuntungan bersih bahagian perbankan komersialnya, Hong Leong Bank Bhd (HLB), meningkat kepada RM4.20 bilion bagi Tahun Kewangan 2024 berbanding RM3.82 bilion, disokong oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan kukuh, metrik kualiti aset yang lebih baik dan sumbangan tinggi daripada syarikat sekutu.

Jumlah pendapatan HLB meningkat 1.5 peratus kepada RM5.77 bilion daripada RM5.69 bilion pada Tahun Kewangan 2023. 

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HLB Kevin Lam berkata bank itu mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 9.9 peratus bagi Tahun Kewangan 2024, mencapai pulangan ke atas ekuiti (ROE) kukuh sebanyak 11.8 peratus.

Beliau berkata pinjaman kasar dan portfolio pembiayaan meningkat 7.3 peratus kepada RM194.9 bilion, disumbangkan oleh pengembangan segmen gadai janji, pinjaman kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial kami, serta pasaran luar negara utama.

"Kami mengekalkan budaya pengurusan risiko berhemat dan proses penajajaminan kredit yang ketat, sekali gus memberikan nisbah pinjaman rosot nilai kasar (GIL) 0.53 peratus dan nisbah liputan rosot bilai pinjaman (LIC) sebanyak 155.0 peratus," katanya.

Bank itu mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 43 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen Tahun Kewangan 2024 sebanyak 68 sen sesaham, meningkat sembilan sen berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan