BELANJAWAN 2024 > BERITA

Sunway Catat Kenaikan Untung Bersih Suku Kedua Kepada RM270.42 Juta

28/08/2024 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Sunway Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM270.42 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 daripada RM149.93 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Hasil turut meningkat 11.3 peratus kepada RM1.58 bilion pada suku kedua 2024 daripada RM1.47 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sunway berkata keuntungan yang meningkat itu disumbangkan oleh kebanyakan segmen perniagaan kecuali segmen pelaburan hartanah.

Ia berkata pendapatan segmen pembangunan hartanah meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada RM371.9 juta bagi suku semasa berbanding RM362.1 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan jualan yang lebih tinggi dan pengebilan kemajuan daripada projek-projek pembangunan tempatan yang baharu dan sedang berjalan.

“Hasil bagi segmen pelaburan hartanah meningkat 15.8 peratus kepada RM231 juta daripada RM199.4 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh prestasi lebih kukuh merentas kebanyakan subsegmen.

"Segmen-segmen itu termasuk pengunjung yang lebih tinggi di taman tema, peningkatan kadar penghunian dan kadar purata bilik di hotel Sunway serta hasil yang lebih tinggi daripada operasi aset-aset pelaburan hartanah," katanya.

Mengenai prospek, Sunway berkata segmen penjagaan kesihatan kumpulan itu terus menumpukan kepada peningkatan kapasiti katil di tiga hospital mereka bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti daripada pesakit domestik dan pelancong perubatan.

Ia juga menjangkakan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang digabungkan dengan infrastruktur yang kukuh dan ketersambungan yang dipertingkatkan antara Singapura dan Johor, akan menjadi petanda baik untuk menarik pelaburan asing dan domestik ke Johor.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Presiden Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Chew Chee Kin berkata pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh pada separuh pertama 2024 telah meningkatkan perniagaan kumpulan itu dengan ketara.

“Kami kekal positif terhadap prospek bagi segmen pembangunan hartanah, penjagaan kesihatan dan pembinaan serta segmen-segmen perniagaan lain untuk baki tahun ini,” katanya.

Sunway juga mengisytiharkan dividen tunai interim pertama satu peringkat sebanyak dua sen setiap saham biasa dan dividen keutamaan sebanyak 5.25 peratus setahun (berdasarkan harga terbitan RM1.00) setiap saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) bagi tempoh kewangan dari 1 Jan, 2024 hingga 30 Jun, 2024.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan