BELANJAWAN 2024 > BERITA

BJCorp Catat Untung Bersih RM446.18 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

29/08/2024 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Berjaya Corporation Bhd (BJCorp) kembali meraih keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024 dengan keuntungan bersih berjumlah RM446.18 juta berbanding kerugian bersih RM110.26 juta setahun lepas.

Pencapaian itu disokong oleh peningkatan penjualan syarikat subsidiari berjumlah RM498.33 juta dan keuntungan daripada pengukuran semula kepentingan ekuiti tertahan dalam syarikat subsidiari terdahulu kira-kira RM154.05 juta.

Bagaimanapun, keuntungan daripada operasi merosot disebabkan oleh prestasi segmen runcit, terutamanya perniagaan makanan, yang mencatatkan kerugian sebelum cukai pada tahun semasa disebabkan rosot nilai yang tinggi aset bukan semasa dari kedai-kedai yang berprestasi rendah.

Hasil bagi tahun kewangan 2024 melonjak kepada RM10.04 bilion daripada RM9.61 bilion sebelum itu, terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada semua segmen, kecuali segmen runcit makanan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun, 2024, kerugian bersih meningkat kepada RM147.84 juta daripada RM79.33 juta terutamanya disebabkan keputusan yang lebih rendah dalam segmen runcit, hartanah dan hospitaliti.

Bagaimanapun, penurunan itu diimbangi oleh prestasi yang kukuh dalam segmen perkhidmatan. 

Hasil menyusut kepada RM2.46 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2024 daripada RM2.55 bilion sebelum itu.

Mengambil kira situasi berkenaan dan tanpa mengambil kira keadaan luar jangka, BJCorp optimis dan berhati-hati bahawa prestasi operasi perniagaannya bagi tahun kewangan 2025 akan memuaskan. 

Bagaimanapun, kumpulan itu akan terus memantau perkembangan politik global dan tempatan di negara tempat ia beroperasi.

"Prestasi segmen perniagaan domestik kumpulan dijangka bertambah baik berikutan perbelanjaan pengguna yang kukuh dan peningkatan dalam aktiviti pelancongan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan