BELANJAWAN 2024 > BERITA

SUKMA 2024: Kelantan Peruntuk Insentif RM200,000 Kepada Atlet Raih Pingat

30/08/2024 06:17 PM

KOTA BHARU, 30 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan insentif berjumlah RM200,000 kepada 37 atlet yang meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang melabuhkan tirainya Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada Khamis depan bagi membincangkan mengenai pemberian insentif itu sebelum diserahkan kepada atlet terbabit semasa majlis meraikan mereka dalam masa terdekat.

"Pemberian insentif ini adalah berdasarkan kadar MSN mengikut pingat yang diperolehi membabitkan kategori individu dan berpasukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Konvoi Semarak Merdeka Kelab LandRover Kelantan, di sini hari ini.

Konvoi yang membabitkan penyertaan 35 buah kenderaan Land Rover itu akan melakukan kembara selama dua hari bermula di Pasir Tumboh, Kota Bharu ke Lata Tembakah di Terengganu sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

SUKMA 2024 menyaksikan kontinjen Kelantan berjaya membawa pulang 37 pingat iaitu tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa serta berada di kedudukan ke-14 daripada 15 kontinjen yang mengambil bahagian.

Pada temasya edisi ke-21 itu yang bermula secara rasmi pada 17 Ogos lepas, kontinjen Sarawak mengesahkan gelaran juara keseluruhan dengan merangkul 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan sebagai naib juara (75-65-72) dan Selangor di tangga ketiga (56-64-61).

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata kerajaan negeri juga akan memberi insentif sama kepada atlet Para SUKMA yang memperolehi pingat pada kejohanan berkenaan yang akan berlangsung 22 hingga 28 September depan.

Bagi individu atau gandingan dua orang berjaya mendapat pingat emas akan menerima insentif RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500), manakala bagi berpasukan melibatkan tiga hingga enam orang atlet pula sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada mereka yang meraih pingat emas, perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000).

Selain itu, ganjaran untuk acara berpasukan melibatkan tujuh orang atlet atau lebih ialah pingat emas (RM4,500), perak (RM3,500) dan gangsa (RM2,500).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan