BELANJAWAN 2024 > BERITA

MSM Malaysia Sasar Eksport 45,000 Tan Gula Kasar Ke China Pada 2024

30/08/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- MSM Malaysia Holdings Bhd, pengeluar gula bertapis jenama "Gula Prai", memperluas jangkauan pasaran melalui perjanjian eksport gula kasar ke China dengan mengunjurkan eksport sebanyak 45,000 tan pada 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Syed Feizal Syed Mohammad berkata dalam tempoh percubaan, sebanyak 1,000 kilogram gula kasar berjaya dihantar pada 2023 dan merupakan peristiwa penting bagi kumpulan itu.

''MSM mempunyai sasaran 100,000 tan hingga 200,000 tan setahun dalam jangka masa sederhana untuk pasaran China dengan kapasiti yang tersedia dari kilang penapisan MSM Johor melalui program peningkatan yang berterusan.

''Perjanjian penting ini menggariskan fokus strategik MSM untuk pengembangan pasaran antarabangsa dan seterusnya mengukuhkan penerimaan kehadiran kami di pasaran China,” katanya.

Menurut syarikat itu, lokasi MSM Johor adalah geo-strategik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di China dan menyokong matlamatnya untuk menjadi pusat penapisan gula bersepadu termasuk menawarkan produk nilai tambah seperti gula cair dan pracampuran.

MSM berkata hubungan perdagangan dengan China bermula pada 2019 dengan pembekalan gula cair kepada perusahaan makanan dan pertanian terkemuka China.

"Perkongsian ini kini telah berkembang termasuklah mengeksport gula kasar.

''Di bawah perkongsian ini, MSM akan mengeksport gula kasar berkualiti tinggi ke China melalui China Food Trading (COFCO), mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat terhadap kecemerlangan dan amalan mampan," katanya.

MSM kini mengeksport ke 20 buah negara di Asia Pasifik, Asia Selatan, Timur Tengah, Eropah dan baru-baru ini Amerika Utara yang memperoleh hasil eksport melebihi RM600 juta setahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan