BELANJAWAN 2024 > BERITA

Perda Berjaya Siapkan Rumah Bercampur Taman Ara Jaya Yang Habis Dijual

30/08/2024 09:21 PM

TASEK GELUGOR, 30 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) melalui anak syarikatnya Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVISB) telah berjaya menyiapkan projek pembangunan perumahan bercampur mampu milik iaitu Taman Ara Jaya, Ara Kuda di sini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata projek perumahan itu mula dilaksanakan pada 22 Dis 2021 dan siap sepenuhnya di atas tanah berkeluasan 15.5 hektar (38.33 ekar) pada 30 April lepas dengan kesemua rumah telah habis dijual.

Beliau berkata Taman Ara Jaya merupakan projek pembangunan bercampur dibangunkan dengan pelbagai jenis pilihan rumah termasuk rumah teres satu tingkat jenis A dan B dengan 363 unit yang bermula dengan harga RM250,000.

“Rumah berkembar satu tingkat pula sebanyak 12 unit dengan harga bermula RM365,000, seterusnya rumah banglo iaitu tiga unit berharga RM450,000, manakala 81 unit rumah kedai dan pejabat dua tingkat turut dibina dalam taman itu dengan harga dari RM445,000.

“Secara keseluruhannya harga rumah ditawarkan masih lagi murah berbanding harga pasaran hartanah itu dan kerajaan harap pihak Perda dapat menawarkan harga sedemikian untuk membantu orang ramai terutama yang berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Taman Ara Jaya di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Perda Datuk Shaik Hussein Mydin.

Rubiah berkata rekabentuk moden dan menarik telah diterapkan dalam pembinaan projek perumahan itu supaya dapat memberikan kepuasan dan keselesaan maksimum kepada pemilik selain lokasi strategik yang terletak bersebelahan Kedah.

Lebuh raya yang menghubungkan terus ke Lebuhraya Butterworth-Kulim memudahkan perjalanan ke Seberang Jaya, malah kawasan perumahan itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain termasuk dewan, surau, taman permainan kanak-kanak serta kawasan lapang, tambah beliau.

"Pihak Perda juga membina rumah-rumah di sini siap lengkap dengan kemudahan bersesuaian dengan penduduk dan ini yang kerajaan mahukan kerana memberi peluang setiap kawasan perumahan dapat mewujudkan satu komuniti MADANI kompleks yang kita biayai dengan kemudahan-kemudahan lain," katanya.

Sehingga kini, Rubiah berkata PVISB telah menyiapkan 4,346 unit perumahan dan 6,021 unit sedang dibina, manakala 7,183 unit rumah dalam perancangan pembangunan sehingga 2030.

Taman Ara Jaya itu merupakan usaha Perda bersama PVISB selaku agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berperanan dan bertanggungjawab membawa pembangunan di Pulau Pinang khususnya di kawasan luar bandar.

Rubiah memaklumkan Perda telah menjalankan tanggungjawab menyediakan perumahan mampu milik kepada penduduk di Pulau Pinang sejak 1992, sementara PVISB ditubuhkan pada 2007 bagi memenuhi keperluan perumahan yang tinggi dalam kalangan rakyat sekali gus menjadi jentera pelaksana kepada Perda dalam pelaksanaan projek-projek hartanah mempunyai nilai komersial.

Sementara itu, seorang pembeli yang menerima kunci hari ini M.Megala,43, berkongsi perasaan gembira dan teruja untuk berpindah ke Taman Ara Jaya yang dibelinya pada 2022 dengan harga berpatutan.

Beliau yang merupakan peniaga dan mempunyai dua anak berkata mereka sekeluarga sukakan suasana di kawasan perumahan itu kerana mempunyai pelbagai kelengkapan.

"Rumah ini saya beli kerana dari pertama kali tengok iklannya sudah berminat dengan suasana persekitaran, malah harganya juga berpatutan berbanding kawasan perumahan lain di Pulau Pinang yang semakin mahal sekarang ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan