BELANJAWAN 2024 > BERITA

Pegawai Tentera Malaysia Perkukuh Kepakaran Keselamatan Siber Di UK Dengan Biasiswa Chevening

30/08/2024 11:12 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Di tengah-tengah ancaman siber yang semakin meningkat, Mejar Wan Hidayat Wan Muhamad daripada Angkatan Tentera Malaysia memulakan perjalanan transformasi untuk melindungi sempadan digital Malaysia.

Beliau yang dianugerahkan Biasiswa Chevening  akan melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan Siber dan Jaminan Maklumat di Cranfield University di Wharley End, England, bagi mempertingkatkan kepakarannya dalam memperkukuh keselamatan siber Malaysia.

"Dengan peningkatan jumlah ancaman siber yang muncul hari ini, adalah penting untuk melindungi dan mempertahankan kedaulatan ruang digital Malaysia, yang mendorong saya untuk melanjutkan pengajian dalam pertahanan siber di UK," katanya.

Wan Hidayat merupakan seorang penerima Biasiswa Chevening yang hadir pada taklimat prapelepasan dan resepsi bagi Program Biasiswa Chevening ASEAN di Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia di sini pada Jumaat.

Dengan latar belakang dalam sains komputer, khususnya dalam keselamatan siber, Wan Hidayat telah menghadiri pelbagai kursus latihan, termasuk pensijilan sebagai penggodam beretika dan pengamal keselamatan.

Beliau menekankan bahawa permintaan untuk profesional keselamatan siber semakin meningkat.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang menerima Biasiswa Chevening pada majlis itu ialah Syamim S., seorang pejuang hak orang kurang upaya (OKU) di Malaysia.

Syamim, juga dikenali sebagai Sya akan melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pengajian Autisme di University of Kent, Canterbury, England.

Sebagai ahli SIUMAN, sebuah organisasi orang kurang upaya (OKU) yang merupakan kolektif pesakit mental dan sekutu yang memperjuangkan keadilan sosioekonomi dan politik di Malaysia, Sya komited untuk mempertingkatkan hak orang kurang upaya.

Sejumlah 32 rakyat Malaysia telah dianugerahkan biasiswa untuk pengajian lepasan ijazah di UK tahun akademik 2024/25 di bawah Program Biasiswa Chevening  dan  selain daripada jumlah Biasiswa Chevening yang sedia ada, Kerajaan UK kini telah melancarkan Program Biasiswa Chevening ASEAN.

Setiap negara anggota ASEAN bersama-sama Timor-Leste akan menerima satu tambahan anugerah Biasiswa Chevening untuk tahun akademik 2025/26.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia David Wallace yang menganjurkan taklimat pra-pelepasan dan resepsi itu, berkata program Biasiswa Chevening adalah bukti komitmen Kerajaan UK untuk membentuk pemimpin masa depan Malaysia.

“Ia menyediakan peluang untuk mengalami pendidikan bertaraf dunia di UK sambil memperoleh pendedahan dan pengalaman yang tidak ternilai sepanjang perjalanan. ASEAN adalah rakan kongsi penting kepada UK,” katanya.

Pada 2022, UK menjadi Rakan Dialog kepada ASEAN, rakan dialog baharu yang pertama dalam tempoh 25 tahun. Program Biasiswa Chevening ASEAN akan membolehkan lebih ramai sarjana dari Asia Tenggara, termasuk Malaysia, untuk melanjutkan pengajian di UK, yang selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Anugerah Chevening adalah program biasiswa global Kerajaan UK, yang dibiayai dan ditadbir oleh Pejabat Luar Negara, Komanwel & Pembangunan (FCDO) UK.

Ini dilengkapkan dengan penajaan daripada rakan korporat Malaysia seperti Yayasan CIMB, Yayasan Khazanah, PETRONAS, dan Yayasan Jeffrey Cheah Foundation. Universiti-universiti British juga menyediakan pembiayaan tambahan bagi menyokong program Chevening.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan