BELANJAWAN 2024 > BERITA

Menteri Luar Poland Lawat Malaysia Minggu Depan - Kedutaan

30/08/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Poland Radosław Sikorski dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 3 September, menurut kenyataan akhbar daripada Kedutaan Poland di sini.

Semasa lawatan itu, yang merupakan kali pertama bagi seorang Menteri Luar Poland ke Malaysia sejak 2002, Sikorski dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya di Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Lawatan ini menyusul daripada beberapa perhubungan dua hala penting antara Poland dan Malaysia awal tahun ini. Pada Jun, rundingan politik pertama antara Kementerian Luar kedua-dua negara sejak 2010 telah diadakan di Warsaw, menurut kenyataan itu.

Pada bulan April, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melawat Poland untuk menghadiri H2POLAND (Forum Teknologi Hidrogen Eropah Tengah) di Poznań. Pada bulan Mei, Presiden Andrzej Duda bertemu dengan Anwar di luar Forum Ekonomi Qatar, menurut kenyataan itu.

“Pertemuan dengan pihak berkuasa tertinggi Malaysia adalah sebahagian daripada agenda Poland yang lebih luas untuk mengukuhkan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang keselamatan dan ekonomi, serta pertukaran antara rakyat.

Malaysia telah menjadi rakan kongsi yang sangat penting dalam rantaian bekalan global, termasuk bagi Poland. Matlamat kedua-dua negara adalah untuk menjana pertumbuhan perdagangan berterusan berdasarkan barangan tradisional, tetapi juga pada penyelesaian dan produk moden,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menurut kenyataan itu Poland berminat untuk menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang akan menjadi langkah ke arah mengukuhkan hubungan dengan negara-negara ASEAN.

“Penyertaan Poland dalam perjanjian itu, yang mungkin berlaku semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025, akan membuka peluang baharu untuk kerjasama,” katanya lagi. 

Ia juga berkata dengan kira-kira 38 juta penduduk, lokasi strategik di tengah-tengah Eropah dan pengalaman 20 tahun sebagai anggota Kesatuan Eropah (EU), Poland mempunyai ekonomi yang stabil dengan kedudukan makroekonomi yang mantap, sektor kewangan yang kukuh serta pasaran buruh domestik yang telah menyokong pertumbuhan upah yang ketara dan penggunaan swasta.

Sebagai negara terbesar di Eropah Tengah, Poland menawarkan akses luas ke pasaran EU yang mempunyai 500 juta penduduk, katanya.

Data daripada Pejabat Statistik Pusat Poland menunjukkan perdagangan dua hala antara Poland dan Malaysia pada 2023 berjumlah hampir US$1.65 bilion.

Eksport Poland ke Malaysia berjumlah US$265 juta, manakala import Poland dari Malaysia adalah US$1.38 bilion.

Data awal bagi tempoh Januari hingga Mei 2024 menunjukkan eksport dari Poland berjumlah US$142 juta dalam tempoh berkenaan, manakala import dari Malaysia bernilai US$680 juta.

Lawatan Sikorski ke Asia Tenggara merupakan elemen penting dalam menggiatkan hubungan Poland dengan rakan kongsi Asia yang penting dan telah dibuktikan oleh lawatan terbaharu Perdana Menteri India Narendra Modi ke Poland, serta lawatan Presiden Andrzej Duda ke China pada Julai, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan