BELANJAWAN 2024 > BERITA

Jalan Masjid India Kembali 'Hidup' Selepas Operasi SAR Tamat

01/09/2024 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Jalan Masjid India di sini kembali meriah dengan pengunjung mula memenuhi premis perniagaan yang beroperasi sepenuhnya hari ini selepas insiden tanah jerlus 23 Ogos lepas.

Tinjauan Bernama mendapati deretan kedai berhadapan dengan lokasi kejadian mula dibuka selepas sebahagiannya ditutup sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata operasi SAR bagi mengesan G.Vijaya Lakshmi, 48, dihentikan selepas mengambil kira isu keselamatan serta risiko kepada anggota pasukan SAR dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi insiden.

Pekerja di sebuah kedai barangan perhiasan dikenali sebagai Ibrahim berkata sepanjang tempoh sembilan hari SAR,  premis itu sangat kurang dikunjungi. 

“Pada hari pertama kejadian, kedai tutup. Selepas beberapa hari, kedai dibuka semula tapi pengunjung sangat kurang berbanding sebelum kejadian.

“Boleh dikatakan 80 peratus pengunjung ‘hilang’. Lepas SAR ini, harap orang ramai boleh datang semula,” katanya kepada Bernama.

Seorang pengunjung Mohd Azmi Halim, 43, berharap usaha membaik pulih Jalan Masjid India dapat dilakukan segera kerana laluan berkenaan adalah kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Orang ramai selalu datang sini. Barangan berpatutan. Bila jadi insiden ini, orang takut nak datang. Bila ada usaha jalan dibaik pulih, orang ramai boleh datang untuk beli barang,” katanya.

Pengawal keselamatan di Wisma Yakin Juinon Masdin, 48 juga berharap pihak bertanggungjawab sentiasa memantau keadaan di jalan berkenaan susulan insiden itu terutama ketika hujan lebat.

"Bagi kami pihak keselamatan di sini akan melakukan pemantauan setiap masa untuk menjaga keselamatan peniaga dan pengunjung wisma ini," katanya.

Seorang pengunjung dari Sabah, Elmia Kiramon, 55,  berkata walaupun sedikit risau dengan insiden berkenaan namun dia yakin dengan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

"Saya lihat polis sudah tutup dan kawal kawasan itu (lokasi kejadian). Kita sebagai pengunjung jangan ke sana (kawasan tanah jerlus),” katanya yang melancong di sini sejak dua minggu lepas dan telah dua kali berkunjung di Jalan Masjid India untuk membeli-belah.

Pekerja kedai pakaian, Nora Amrizal, 36,  juga berharap pihak berkuasa sentiasa melakukan pemeriksaan di kawasan sekitarnya untuk memastikan keselamatan peniaga dan pengunjung.

Menurutnya, peniaga akan mengalami kerugian sekiranya orang ramai masih menganggap lokasi berkenaan tidak selamat untuk dikunjungi susulan kejadian tanah jerlus itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan