BELANJAWAN 2024 > BERITA

GRS Perlu Terbuka Kerjasama Dengan Parti Punya Sokongan Rakyat - Armizan

01/09/2024 05:03 PM

KUDAT, 1 Sept (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai sokongan signifikan rakyat negeri ini terutama dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata meskipun GRS adalah gabungan parti tempatan, ia perlu menilai pendirian dan sokongan rakyat yang dibela dalam membuat sebarang keputusan antaranya parti untuk bekerjasama.

Beliau berkata justeru, selagi mana wujud parti nasional yang mendapat sokongan besar rakyat di Sabah yang boleh dilihat antaranya dalam pilihan raya sebelum ini, maka GRS perlu membuka ruang untuk bekerjasama bagi membentuk kestabilan politik.

"Apapun saya tegaskan di sini semua kerjasama ini bergantung kepada kesepakatan dan keputusan pihak pimpinan pusat GRS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di sini hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata teras kerajaan negeri itu seharusnya parti tempatan yang merupakan antara tiga prinsip utama perlu diletakkan GRS dalam menilai kerjasama dengan parti politik lain.

Beliau berkata mana-mana parti yang bersama-sama membentuk kerajaan negeri juga perlu bersetuju untuk meletakkan hak dan kepentingan Sabah sebagai teras hala tuju dan agenda kerajaan negeri.

Kerjasama itu juga, katanya harus dibina atas keyakinan antara satu sama lain sebagaimana kebersamaan dalam kerajaan negeri hari ini apabila Pakatan Harapan tampil secara ikhlas menyokong GRS untuk kekal meneraju kerajaan negeri.

Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan